Berita

PERGERAKAN PULANG 26 PELAJAR UniSZA KE 3 BUAH NEGERI DI ZON TIMUR

1Kuala Nerus : Seramai 26 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang tinggal di asrama dan luar kampus bertolak pulang ke destinasi masing-masing bermula jam 10.30 malam tadi.

Pergerakan pulang itu membabitkan Zon Pantai Timur iaitu 6 di Terengganu, 9 di Kelantan dan 11 orang pelajar di Pahang.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, hanya pelajar di kawasan zon hijau sahaja dibenarkan pulang dan akan dilakukan secara berperingkat mengikut zon bermula mala mini.

“Alhamdulillah, kita telah menghantar pelajar pulang ke tempat masing-masing malam ini, satu ke Kelantan dan dua bas ke Pahang”
“Saya ucap terima kasih pada semua pihak terutama MKN, PDRM, petugas-petugas di kampus yang menguruskan penghantaran pulang mereka ini” katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, itu adalah satu dari usaha kerajaan kita bagi memastikan bahawa kita dapat menghadapi Covid-19 dengan penuh tatacara mengikut garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dr Hassan Basri berkata, UniSZA telah mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk saringan kesihatan pemeriksaan suhu badan setiap hari sebelum mereka pulang.

"Bagi pelajar yang tinggal di zon kuning dan merah akan tinggal di asrama sementara makluman lanjut menyusul," katanya.  Menurutnya, seorang pelajar antarabangsa turut mendapat kebenaran balik ke Sulawesi, Indonesia semalam.

3 2 4 5

Cetak E-mel

UniSZA Serah 550 unit Face Shield kepada polis Terengganu

face2Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyerahkan sebanyak 550 unit pelindung muka kepada Ibu Pejabat Polis Terengganu, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.

Dr Hassan Basri berkata, penyerahan set pelindung muka itu adalah khusus untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan sekitar Negeri Terengganu untuk menangani penularan wabak COVID-19.

“Pihak UniSZA telah mengambil inisiatif dengan menyumbang kepakaran untuk menyediakan produk inovasi untuk keperluan barisan hadapan dalam usaha bersama melandaikan jangkitan COVID-19”

“Saya lihat ini adalah sebagai satu sumbangan ikhlas yang dilaksanakan oleh UniSZA untuk bersama-sama membantu semua pihak termasuk pelbagai agensi di Terengganu seperti petugas hospital, pegawai polis dan sebagainya” katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, sehingga kini lebih 2000 unit Face Shield telah dihasilkan dan diedarkan kepada pihak hospital.

“Kita berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi pelindung muka untuk kegunaan barisan hadapan kita menerusi sumbangan dana dari pelbagai agensi dan orang ramai dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Roslee Chik turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada UniSZA atas sumbangan face shield tersebut

“Ini adalah satu benda yang penting terutamanya kepada petugas-petugas di lapangan yang berhadapan dengan orang ramai”

“Kita tidak tahu mereka ini ada simptom atau tidak sewaktu sekatan jalan raya jadi face shield ini sangat penting untuk mereka guna semasa bertugas”, katanya.

Pada majlis itu, IPD Terengganu turut memberi sumbangan bekalan makanan kepada pagawal keselamatan UniSZA yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

face1 face3 face4

Cetak E-mel

Bantuan Tabung Infaq Covid-19 Alumni UniSZA Kepada Pelajar

tabung2Kuala Nerus – Pusat Alumni, Keusahawanan dan Jaringan Masyarakat (PAKAT) dan Persatuan Alumni UniSZA (PAU) telah melancarkan Tabung Infaq Covid 19 Alumni UniSZA sebagai keprihatinan alumni dalam membantu UniSZA meringankan beban pelajar yang masih berada di kampus dan rumah sewa sepanjang Perintah Kawalan Pegerakan (PKP)

PAU turut menyumbang RM 2,000.00 kepada Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA bagi penyediaan ‘face shield’ dan ‘Personal Protectitive Equipment’ (PPE) yang lain kepada barisan hadapan UniSZA dalam menangani Covid-19.

Majlis Penyerahan tersebut telah disempurkan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, di Foyer Kolej Kediaman Pelajar, hari ini.

PAKAT diwakili oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah manakala PAU diwakili oleh YAA Wan Mohd Zakri Wan Daud yang juga Hakim Syarie Negeri Terengganu.

Tabung1 tabung3

Cetak E-mel

Kesedaran Berkaitan Gejala Lesbian,Gay,Biseksual, Transgender Dan Seks Bebas Kepada Mahasiswa

5ace429a 321b 47d2 abfb 50ba000d9a1dGejala Lesbian, Gay,Biseksual dan Transgender semakin berleluasa dewasa ini. Ia bukan sahaja berlaku di antara remaja-remaja yang berpeleseran tetapi juga sehingga ke Institusi-institusi Pengajian Tinggi yang kita percaya boleh membentuk peribadi dan sahsiah pelajar malahan juga lebih menyedihkan turut menyelinap dalam kumpulan profesional.  Sudah tentu gejala ini merupakan suatu isu yang cukup besar dan sangat membimbangkan demi kelansungan kehidupan generasi muda dan isu peningkatan gejala sosial dalam institusi kekeluargaan khususnya.  Justeru pada 7 Mac 2020 (Sabtu) Unit Kaunseling PTNC HEPA telah menganjurkan satu Kolokium Pencegahan Gejala LGBT bertempat di Dewan Kuliah Utama (UniSZA Kampus Gong Badak).  Seramai 208 orang mahasiswa telah menyertai kolokium ini.

Kolokium  berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender serta Seks Bebas (LGBT) cuba memberi kefahaman dan kesedaran kepada semua bahawa budaya dan cara  hidup dan perlakuan seks songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga. Sejarah menyaksikan manusia pernah ditimpa musibah akibat kegitan LGBT sepertimana peristiwa di zaman Nabi Luth. Buktinya, hari ini gejala LGBT begitu berleluasa di mana ia bukan lagi tertumpu di Negara sekular malah merebak ke Negara-negara Islam. Pengisian-pengisian di dalam kolokium ini ini secara keseluruhannya ini menggesa  individu dan komuniti agar peka dengan maklumat mengenai perkembangan LGBT dan memahami  falsafah toleransi dan ketegasan yang sepatutnya ada dan yang sesuai digunakan dalam proses memberi kesedaran kepada golongan LGBT dan masyarakat sekeliling.  Tidak kurang juga perkara berkaitan risiko penyakit berbahaya seperti HIV dan AIDS, isu identiti atau sifat manusia berubah daripada fitrah kepada personaliti bertentangan dengan fitrah adalah mempunyai kaitan dengan bisikan hati yang mendorong jiwa melakukan perkara bertentangan fitrah. Jiwa ini dianggap sebagai nafs al-ammarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan) seperti mana dijelaskan oleh Allah dalam surah 12 (Yusuf): 53 yang bermaksud, " Sesungguhnya nafsu itu (nafsu al-ammarah) selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan ku.
Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Kolokium ini telah dilaksanakan selama sehari bermula dari jam 8.00 pagi- 6.00 petang dan telah menampilkan 3 orang panel penceramah yang masing-masing berkongsi ilmu dan pengetahuan dari aspek psikososial, agama dan kesihatan. Antara lain ialah Dr.Mahani Binti Nordin@Kamarudin dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim  Binti Mokhtar Ketua Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) Dan Prof. Madya Dr.Samsul Bin Draman (Pakar Kesihatan Keluarga UIAM).

Diakhir kolokium ini, perasmian penutup telah disempurnakan oleh Prof.Madya Dr. Mohd Shafiee Bin Hamzah (Pengarah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar UniSZA).  Di dalam ucapan ini, beliau menyentuh berkaitan sejarah awal LGBT ini. Ujar berliau LGBT ini bukanlah sesuatu yang baharu, ia mula wujud sejak zaman Nabi Luth AS seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 80 hingga 81 bermaksud: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? .Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”. 

Semua pihak perlu mempunyai kesedaran dalam merealisasikan agenda penting dalam memelihara akidah ummah sama ada mereka yang telah terjebak atau perlu dihalang dari terjebak dalam amalan yang bertentangan dengan agama Islam.  Bagi mereka yang telah terlanjur pula, Prof. Madya Dr.Mohd Shafiee mengatakan bahawa Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh penuh cinta dan taubat. Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik. “Golongan LGBT sama seperti para pendosa yang lain, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang”.

Memandangkan besarnya implikasi yang akan terjadi LGBT ini, maka sewajarnya seluruh peserta kolokium ini diseru untuk menjauhkan diri dari gejala ini dan bersama-sama mencegah ini daripada terus berkembang. Sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dikhuatiri ia akan mengundang kemurkaan dan bala daripada Allah SWT yang apabila ia berlaku musibahnya akan turut terkena setiap daripada kita sama ada golongan taat atau golongan yang engkar.

19c4a392 5e0c 4d1e 9a5c 86a7369a9f4b  f9c7eb98 40bb 46b4 aa3c b7c55e292412

Cetak E-mel

UniSZA Pantau Kesihatan Mahasiswa melalui UKJK

2002201Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di Pantai Timur yang melaksanakan program Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) kepada semua pelajar dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik, sihat dari sudut fizikal dan mental

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Mohd Afandi Salleh, berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan seluruh warga UniSZA di samping melahirkan para graduan yang sihat dari segi fizikal dan mental.

“UKJK ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 7 March 2020 dan semua pelajar wajib menjalani UKJK ini”

“Dengan adanya program ini, InsyaAllah pihak universiti akan dapat memantau perkembangan kesihatan mahasiswa di sepanjang tempoh pengajian mereka di UniSZA”, katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian UKJK di Dewan Gemilang, UniSZA.

Katanya lagi, pihak universiti juga telah membangunkan sebuah aplikasi kesihatan 'UniWellness' yang boleh dimuat turun oleh mahasiswa dalam telefon pintar masing-masing bagi melihat perkembangan kecergasan dari masa ke semasa.

Menurut Prof Afandi, ujian yang dilaksanakan termasuklah jangkauan melunjur, tekan tubi, bangkit tubi, lompat jauh berdiri serta larian sejauh 2.4 kilometer.

“Mereka juga melakukan pemeriksaan kesihatan oleh pelajar Fakulti Sains Kesihatan serta dari Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA selain mengenal pasti berat dan ketinggian mereka samada normal, obesiti atau tidak normal”

“UKJK ini bukan sahaja untuk memeriksa tahap kesihatan dan kecergasan malah ia juga dapat memastikan bahawa mahasiswa UniSZA kekal cergas dan aktif sebelum, semasa dan selepas menjadi graduan”, katanya.

Sementara itu, Pengarah Program UKJK, Nor Faqid Idham Nasrul Nor Azali, berkata program itu menunjukkan keseriusan pihak universiti dalam merangka program berimpak tinggi kepada pelajar dalam memastikan pelajar tidak sahaja cerdas dalam akademik tetapi cergas juga dari aspek kesihatan jasmani dan mental.

“Ia sesuai dengan pepatah 'akal yang sihat berasal dari jasmani yang sihat' dan ini adalah satu langkah bijak dari pihak universiti dalam memastikan mahasiswa-mahasiswi sentiasa berada di tahap kecergasan yang baik”, kataya ketika ditemui.

2002202 2002203

Cetak E-mel