Berita

Kunjungan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia ke UniSZA

UD1Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar satu detik sejarah yang penuh bermakna dengan kunjungan seorang tokoh sarjana Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni sebagai Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, beliau secara peribadi mempelawa Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni untuk menjadi Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam yang merupakan fakulti tertua dan terbesar di UniSZA ke arah memperkasa dan mengantarabangsakan fakulti.

“Usaha membawa Sheikh sering terbantut memandangkan kesibukan beliau dengan tugasan sebagai Ketua kesatuan Ulama Islam Sedunia dan juga profesor Fakulti Syariah di sebuah universiti di Doha, Qatar”

“Setelah enam bulan, akhirnya usaha membawa Sheikh ke UniSZA berjaya direalisasikan dengan persetujuan beliau untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang disenaraikan kepadanya bermula 25 Disember 2019 sehingga 9 Januari 2020”, katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, itu merupakan satu kejayaan yang amat bermakna kepada seluruh warga UniSZA apatah lagi ini merupakan lawatan beliau yang pertama kali ke Malaysia.

“Kunjungan Sheikh telah memberi impak yang besar kepada warga UniSZA khususnya dan masyarakat amnya kerana beliau berjaya mengenengahkan pendekatan maqasid syariah sebagai satu mekanisme praktikal dalam menjamin kelestarian universiti sebagai sebuah pusat pembinaan peradaban insan dan dalam menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam era revolusi industri yang penuh dengan cabaran”

“Idea-idea yang diketengahkan oleh Sheikh juga akan diwacanakan dengan lebih lanjut dan dibukukan bagi melonjakkan pencapaian UniSZA serta menjayakan misi pendidikannya ke arah melahirkan insan holistik dengan nilai-nilai terpuji selaras dengan visi UniSZA iaitu Universiti Islam Integrasi Kontemporari”, katanya ketika ditemui.

.Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Prof. Dr. Abdul Hakim Abdullah berkata, pelbagai aktiviti telah disusun untuk dimanfaatkan bukan hanya kepada warga UniSZA tetapi termasuk juga kepada masyarakat Malaysia.

“Syarahan yang disampaikan oleh Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni dilengkapi dengan terjemahan dan turut dikongsi melalui media sosial untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum”

“Selain daripada semakan dan pemantapan kurikulum FKI, Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni turut menjayakan beberapa aktiviti ilmiah yang lain seperti kuliah umum, penyampaian khutbah, wacana usul fiqh, bedah kitab, dan bengkel metodologi bersama para pelajar siswazah”, katanya.

Katanya lagi, Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni turut mengadakan sesi mini muzakarah bersama para ilmuan Terengganu anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), pertemuan dengan Sahibussamahah Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifli Muda, beberapa wacana ilmu anjuran The International Institute of Islamic Thought (IIIT), Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Maqasid Malaysia, ramah mesra dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Program Wawancara Bersama TV al-Hijrah.

“Dalam kesibukan menjayakan aktiviti ilmiah yang telah disusun, Sheikh berkesempatan untuk kunjungan hormat menemui beberapa pemimpin negara iaitu YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, YB Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa”

“Semasa berada di Terengganu, beliau turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat menemui YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan menemui rakan lama beliau semasa bersama menjawat Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang”, katanya.

UD2 UD3 UD4 UD5

Cetak E-mel

Pelajar Wanita Kuasai Sukan Berkuda di UniSZA

WhatsApp Image 2019 12 15 at 12.24.551Kuala Nerus: Seramai 28 pelajar wanita mendominasi kelab sukan berkuda di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dikenali sebagai Kelab Ekuin UniSZA

Kelab yang baru ditubuhkan itu adalah satu platform yang tepat dalam memperkenalkan sukan berkuda dalam usaha menggamit perhatian masyarakat tidak kira usia agar lebih meminati sukan berkenaan.

Presiden Kelab Ekuin UniSZA, Wani Khairani Mohd Khadhir berkata, penubuhan kelab itu juga bertujuan melahirkan peserta sukan berkuda dalam kalangan pelajar bukan sahaja di peringkat negeri malah juga antarabangsa.

“Ini secara tidak langsung pihak universiti mampu melahirkan ‘rider’ dalam kalangan pelajar UniSZA untuk mewakili ke pertandingan sukan berkuda di peringkat lebih tinggi sekaligus mengharumkan nama UniSZA”

“Malah, sukan berkuda ini juga disokong sepenuhnya oleh Naib Canselor dan TNC HEPA, yang mana mereka berdua juga mahir dalam sukan ini”, katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, penubuhan kelab berkuda itu juga sebagai satu inisiatif menambahkan sukan sunnah selain memanah

“InsyaAllah, kami berhasrat untuk mnyertai sukan endurance bertaraf antarangbangsa pada tahun depan dan telah merancang pelbagai aktiviti sukan kuda lasak bersama warga UniSZA”, katanya.

WhatsApp Image 2019 12 15 at 12.24.552 WhatsApp Image 2019 12 15 at 12.24.55

Cetak E-mel

Majlis MoU Antara Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Dan Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo-Institut Gerontologi (Tmgh-Ig), Japan

jepun1KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan  Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo-Institut Gerontologi (TMGH-IG), Tokyo, Japan menjalin kerjasama dalam bidang perubatan Geriatrik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan pada 4 Disember 2019, di Itabashi City Hall, Tokyo.

UniSZA diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Nordin Simbak. Manakala TMGH-IG pula diwakili oleh Presiden, Prof. Dr. Shunei Kyo dan Ketua Pegawai Eksekutif, Prof. Dr. Kenji Toba.

Majlis MoU ini akan disaksikan oleh Yang berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik sempena lawatan kerja ke Tokyo, Jepun.

Ketuaan merupakan satu fenomena kehidupan yang dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat menyebabkan penurunan dalam keupayaan fizikal dan mental yang saterusnya mengakibatkan peningkatan dalam perbelanjaan pengurusan sesebuah negara.

Antara 2015 dan 2050, bilangan penduduk dunia yang berumur 65 tahun dan ke atas akan bertambah dua kali ganda dari 12% kepada 22%. Malaysia mempunya risiko yang tinggi menjadi negara “Ageing population” bilamana 7% daripada jumlah keseluruhan penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas.

Sehingga tahun 2017, data menunjukkan yang Malaysia mempunyai 2 juta atau 6.3% penduduk yang berumur melebihi 60 tahun. Pada tahun 2018, dianggarkan peratusan penduduk yang berumur melebihi 60 tahun menjadi 6.6%. Dalam tahun 2020, dijangkakan 2.4 juta daripada 34.3 juta penduduk Malaysia akan mencapai umur 60 dan ke atas.

Peningkatan yang agak mendadak ini akan memberi tekanan dalam sosio-ekonomi dan kekurangan dalam gunatenaga kerja. Hal ini perlu kepada satu penyelesaian yang menyeluruh.

Negara Jepun sedang mengalami masyarakat “super ageing” disebabkan peningkatan dalam jangka-hayat penduduknya. Didapati 30% daripada jumlah keseluruhan penduduknya telah mencapai umur melebihi 60 tahun.

Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo dan Institut Gerontologi (TMGH-IG) merupakan sebuah institusi yang terkenal dalam bidang rawatan golongan geriatrik dan aktiviti penyelidikan menangani fenomena ketuaan semenjak tahun 1972 dan telah diiktiraf pencapaiannya.

UniSZA dijangka mengurus hospital pengajar sendiri pada tahun 2021 dan berhasrat menjadi satu hospital yang cemerlang dalam rawatan yang berfokuskan rawatan “patient-centered” dan penyelidikan klinikal.

Fakulti Perubatan (FP) UniSZA berhasrat menerajui bidang geriatrik serta onkologi radiasi sebagai antara bidang tujahan penyelidikannya. FP UniSZA ingin menimba ilmu dan berkolaborasi dengan TMGH-IG dalam bidang gerontologi. Diharapkan dalam masa terdekat, FP UniSZA berhasrat mempunyai satu Pusat Penyelidikan Kesihatan Ketuaan.

jepun2 jepun3

Cetak E-mel

Majlis Kunjung Hormat UniSZA ke Pejabat Kedutaan Morocco

1Kuala Lumpur - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diwakili Naib Canselor, Prof Dato Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan bersama Duta Kerajaan Morocco, HE Mohammed Reda Benkhaldoun.

Dalam perbincangan tersebut, UniSZA dan Universiti Al-Khawariyyin telah mencapai kata sepakat sebelum ini untuk saling bekerjasama dalam akademia, projek penyelidikan dan seumpamanya

Kedua-dua universiti juga telah bersetuju dalam usaha untuk mendigitasikan dokumen-dokumen  manuskrip lama di bawah seliaan Pejabat Kerajaan Morocco sendiridengan anggar kos keseluruhan projek besar itu lebih kurang berjumlah melebihi RM 8 juta.

Kunjung hormat dan perbincangan itu turut dihadiri Pengarah Pusat Komunikasi Koporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA, Encik Ismail Musa di Pejabat Kedutaan,Jalan Ampang,Kuala Lumpur.

2 3

Cetak E-mel

UniSZA Anjur IECC 2019 untuk Kerjaya Graduan

DSC 8370Kuala Nerus - Seramai 40 pempamir dari agensi kerajaan dan swasta menyertai Karnival Industri, Keusahawanan dan Kerjaya UniSZA (IECC UniSZA 2019) di UniSZA kampus Gong Badak selama dua hari, bermula hari ini.

IECC 2019 ini adalah inisiatif UniSZA untuk mempersiapkan bakal graduannya dengan kemahiran-kemahiran untuk  bekerjaya, berinteraksi dengan bakal majikan kerajaan dan swasta serta terlibat dalam bidang keusahawanan  selepas tamat pengajian di Universiti.

IECC juga bertujuan mendedahkan kepada mahasiswa  pengetahuan  kerjaya dan keusahawanan untuk melahirkan mahasiswa UniSZA yang berkualiti holistik, dilengkapi dengan skill  kesediaan berkerjaya dan keusahawanan, serta   peka kepada keperluan pasaran pekerjaan.
 
Selain itu, karnival ini dapat membantu masyarakat setempat dalam menambah pengetahuan tentang profil bakal pekerja yang dihajati oleh majikan di samping untuk mendapatkan pekerjaan melalui   pameran kerjaya dan industri serta temu duga terbuka oleh pempamir yang terlibat.

IECC 2019 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawan, YB Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli.

DSC 8355 DSC 8394 DSC 8496

Cetak E-mel