UNISZA DAN IJN METERAI MOU, BAKAL BUKA PUSAT PERUBATAN JANTUNG DI TERENGGANU

Written by NURUL FAISAL on .

DSC 1069 1 1 DSC 9750

 

UNISZA DAN IJN METERAI MOU, BAKAL BUKA PUSAT PERUBATAN JANTUNG DI TERENGGANU

 

Kuala Nerus - Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Terengganu bakal menawarkan rawatan kepada pesakit kardiovaskular di negeri-negeri di pantai timur melalui kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN).

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu hari ini antara lain bagi membolehkan IJN berkongsi teknologi dan kepakaran dengan UniSZA serta mengadakan kajian dalam bidang kardiologi.

“Bagi IJN, ini adalah peluang untuk melebarkan sayap ke pantai timur dan ia akan memanfaatkan penduduk di Kelantan dan utara Pahang yang memerlukan perkhidmatan daripada IJN dengan masa perjalanan yang lebih singkat.

Antara peluang lain ialah pemindahan pengetahuan dalam program pembangunan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan pembangunan teknologi kardiologi dalam Malaysia dan boleh diperluaskan menerusi Asia dan antarabangsa serta pelan pengganti untuk UniSZA  menghasilkan pakar bedah terkemuka dalam kardiologi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika majlis menandatangani MoU antara UniSZA dan IJN di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang bagi pihak UniSZA manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd Dr Aizai Azan Abdul Rahim dan disaksikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

# # #

Cetak