Bidaan No Plat Khas UniSZA bermula hari ini

Written by NURUL FAISAL on .

DSC 9673 DSC 9750 DSC 9782
DSC 9722

Bidaan No Plat Khas UniSZA bermula hari ini

Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan nombor plat khas kenderaan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata UniSZA antara universiti awam terawal mengemukakan permohonan bagi penjualan nombor pendaftaran khas bagi usaha menjana dana untuk penjanaan pendapatan universiti.

“Sesi pertama bidaan nombor pendaftaran khas ‘UniSZA’ dibuka bermula hari ini sehingga 26 Mac bagi nombor pendaftaran bermula 1 hingga 9,999 sahaja.

“Mereka yang membida pada harga paling tinggi pada nombor yang dipilih akan diumumkan sebagai berjaya dalam proses itu,” katanya  dalam program Sembang Pagi UniSZA, hari ini, sebelum merasmikan majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Khas UniSZA, di perkarangan Canselori UniSZA.

Inisiatif penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas itu selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menawarkan Plat Kenderaan Khas Universiti Awam

Menurut Prof Hassan Basri, pihak UniSZA turut mendapat kelulusan dari MOT untuk menggunakan rekabentuk tulis “UniSZA” sebagaimana bentuk sambutan 40 tahun UniSZA.

“Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA akan menyediakan perkhidmatan mencetak plat kenderaan dengan rekabentuk tersebut yang menggunakan teknologi laser”, katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penjanaan Pendapatan, Pelaburan dan Jaringan Industri (P4P) UniSZA, Prof Dr. Ahmad Shukri Yazid, berkata, terdapat empat kategori no.plat kenderaan khas UniSZA iaitu Bernilai Utama, Menarik, Popular dan Semasa.

“Pihak UniSZA mensasarkan kumpulan sasaran bagi projek ini ialah staf, alumni termasuk dari KUSZA, UDM dan UniSZA, pelajar dan orang awam”

“Apa yang menariknya, sesiapa yang membeli nombor plat UniSZA ini akan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan mendapat diskaun jika membeli kereta dengan syarikat tertentu”, katanya.

# # #

Cetak