• Utama
  • Berita
  • Khalis, Aina Yasmine masing-masing dinobat Olahragawan, Olahragawati UniSZA 2019

Khalis, Aina Yasmine masing-masing dinobat Olahragawan, Olahragawati UniSZA 2019

 

DSC 3591        DSC 3613     DSC 3708     DSC 3728      

 

 Khalis, Aina Yasmine masing-masing dinobat Olahragawan, Olahragawati UniSZA 2019

Kuala Nerus - Atlet sukan rowing, Muhammad Khalis Jasmiad, 24,dan atlet memanah, Nur Aina Yasmine Halim, 24, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan UniSZA yang berlangsung di Dewan Auditorium Perpustakan UniSZA, di sini sebentar tadi.

Kedua-dua membawa pulang wang tunai sebanyak RM 750.00 beserta sijil, trofi, jaket dan piala iringan.

Muhammad Khalis menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun dengan memenangi pingat perak dalam Kejohanan Sukan Air Masum dan pingat emas di Kejohanan Putrajaya Indoor Rowing.

Dia turut mewakili Malaysia ke Kejohanan Asian Rowing Championship yang berlangsung di Chungju, Korea Selatan dan mewakili negara ke temasya Sukan Sea 2019 di Filipina.

Nur Aina Yasmine pula menunjukkan kecemerlangannya dalam sukan memanah dengan mewakili negara di kejohanan sukan universiti dunia yang berlangsung di Napoli, Itali dan berjaya melangkah sehingga ke peringkat suku akhir dalam acara individu.

Bersama skuad kebangsaan, Aina telah mewakili negara ke pelbagai kejohanan di peringkat asia dan dunia serta berjaya membantu pasukan meraih pingat emas di kedua-dua kejohanan Asia Cup Stage 1 dan Stage 2 yang berlangsung di Bangkok dan Taipei selain mewakili negara ke temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

 Mengulas mengenai kemenangannya itu, Nur Aina berkata, dia sangat bersyukur apabila tahun ini dapat memenangi gelaran Olahragawati UniSZA  dan berterima kasih kepada banyak pihak terutama keluarga yang banyak membantu selama ini.

"Kemenangan ini takkan berhenti begitu saja. Saya akan cuba sedaya upaya untuk bekerja lebih gigih bagi menaikkan nama UniSZA serta nama Malaysia di persada dunia”

“Alhamdulillah, walaupun saya pernah jatuh tapi saya terus bangkit dari kegagalan dan berusaha sehingga berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa ," katanya ketika ditemui.

Olahragawan serta olahragawati harapan pula dimenangi atlet futsal, Wan Mohd Hakim Wan Hussien, 22, dan atlet memanah, Iman Aisyah Norazam, 22, sekaligus membawa pulang wang tunai RM 500 beserta sijil dan trofi.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak Terengganu yang pernah membantu Terengganu menjadi juara Piala Malaysia 2001, Zulharisham Awang, 45,dipilih sebagai penerima Jurulatih Cemerlang 2019 bagi sukan bola sepak.

Selain beliau, jurulatih memanah, Adnan Ahmad, 48, dan jurulatih rowing, Nor Amirul Mohamad, 35, turut dianugerahkan Jurulatih Cemerlang 2019 pada majlis berkenaan.

Anugerah pasukan terbaik wanita pula diungguli sukan air kayak (Rowing) manakala pasukan terbaik lelaki dianugerahkan kepada pasukan e-Sports.

Kedua-dua pasukan membawa pulang wan tunai RM 500.00.

Anugerah telah disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan sekaligus merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan dan Reakrasi UniSZA, Riduan Mohamed Arof.

# # #

Cetak E-mel