• Utama
  • Berita
  • 1,000 Peserta sertai Persidangan Antarabangsa Sosial Islam 2020

1,000 Peserta sertai Persidangan Antarabangsa Sosial Islam 2020

AI2 Kuala Nerus : Lebih 1,000 orang hadir ke Persidangan Antarabangsa Sosial Islam 2020 yang berlangsung di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.

Persidangan yang bertemakan “Islamic Social Framework in the Context of Maqasid Syariah and Civil Society” itu adalah anjuran Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE)  dengan kerjasama International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA

Pengarah INSPIRE, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, penganjuran persidangan itu adalah platform untuk membincangkan kepentingan maqasid syariah dalam menangani isu-isu keagamaan dan perpaduan ummah di dunia khususnya di negara kita yang hangat pada masa kini sekaligus membimbangkan terjadinya keretakan perpaduan kaum dan menjejaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dengan adanya persidangan ini, ia dapat mewujudkan kerjasama dan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam terutamanya demi sama-sama membantu dalam isu keagamaan dan perpaduan kaum melalui kepentingan maqasid syariah dalam kehidupan”

”Malah, ia juga satu medium percambahan dan perkongsian ilmu dalam kalangan ahli akademik UniSZA, cendekiawan luar dan NGO yang terlibat”, katanya pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Pengerusi Pengerusi Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (IIIT), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucaptama beliau kepada peserta yang hadir.

Menurur Prof Fadzli, penceramah dan peserta berpeluang untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam mencari solusi untuk mempertahankan kepentingan maqasid syariah di negara sekaligus mengekalkan keharmonian masyarakat yang telah lama wujud.

”Tujuan persidangan ini juga untuk memberi kefahaman yang jelas terhadap isu-isu dan konflik agama dan perpaduan ummah yang timbul pada masa kini disebabkan membelakangi syariah yang akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang”

“Ia juga memberi pengetahuan dan kesedaran kepada peserta tentang kepentingan serta menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mengekalkan corak kehidupan berlandaskan syariah pada masa kini”, katanya.

Katanya lagi, Maqasid syariah mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan.

“Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada di dalam kerangka syariat”, katanya.

AI1

Cetak E-mel