• Utama
  • Berita
  • Kunjungan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia ke UniSZA

Kunjungan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia ke UniSZA

UD1 Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar satu detik sejarah yang penuh bermakna dengan kunjungan seorang tokoh sarjana Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni sebagai Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA

Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, beliau secara peribadi mempelawa Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni untuk menjadi Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam yang merupakan fakulti tertua dan terbesar di UniSZA ke arah memperkasa dan mengantarabangsakan fakulti.

“Usaha membawa Sheikh sering terbantut memandangkan kesibukan beliau dengan tugasan sebagai Ketua kesatuan Ulama Islam Sedunia dan juga profesor Fakulti Syariah di sebuah universiti di Doha, Qatar”

“Setelah enam bulan, akhirnya usaha membawa Sheikh ke UniSZA berjaya direalisasikan dengan persetujuan beliau untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang disenaraikan kepadanya bermula 25 Disember 2019 sehingga 9 Januari 2020”, katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, itu merupakan satu kejayaan yang amat bermakna kepada seluruh warga UniSZA apatah lagi ini merupakan lawatan beliau yang pertama kali ke Malaysia.

“Kunjungan Sheikh telah memberi impak yang besar kepada warga UniSZA khususnya dan masyarakat amnya kerana beliau berjaya mengenengahkan pendekatan maqasid syariah sebagai satu mekanisme praktikal dalam menjamin kelestarian universiti sebagai sebuah pusat pembinaan peradaban insan dan dalam menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam era revolusi industri yang penuh dengan cabaran”

“Idea-idea yang diketengahkan oleh Sheikh juga akan diwacanakan dengan lebih lanjut dan dibukukan bagi melonjakkan pencapaian UniSZA serta menjayakan misi pendidikannya ke arah melahirkan insan holistik dengan nilai-nilai terpuji selaras dengan visi UniSZA iaitu Universiti Islam Integrasi Kontemporari”, katanya ketika ditemui.

.Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Prof. Dr. Abdul Hakim Abdullah berkata, pelbagai aktiviti telah disusun untuk dimanfaatkan bukan hanya kepada warga UniSZA tetapi termasuk juga kepada masyarakat Malaysia.

“Syarahan yang disampaikan oleh Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni dilengkapi dengan terjemahan dan turut dikongsi melalui media sosial untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum”

“Selain daripada semakan dan pemantapan kurikulum FKI, Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni turut menjayakan beberapa aktiviti ilmiah yang lain seperti kuliah umum, penyampaian khutbah, wacana usul fiqh, bedah kitab, dan bengkel metodologi bersama para pelajar siswazah”, katanya.

Katanya lagi, Sheikh Profesor Dr. Ahmed al-Raissouni turut mengadakan sesi mini muzakarah bersama para ilmuan Terengganu anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), pertemuan dengan Sahibussamahah Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifli Muda, beberapa wacana ilmu anjuran The International Institute of Islamic Thought (IIIT), Institut Darul Ehsan (IDE) dan Institut Maqasid Malaysia, ramah mesra dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Program Wawancara Bersama TV al-Hijrah.

“Dalam kesibukan menjayakan aktiviti ilmiah yang telah disusun, Sheikh berkesempatan untuk kunjungan hormat menemui beberapa pemimpin negara iaitu YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, YB Menteri Pendidikan Malaysia Dr. Maszlee Malik dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa”

“Semasa berada di Terengganu, beliau turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat menemui YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan menemui rakan lama beliau semasa bersama menjawat Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang”, katanya.

UD2 UD3 UD4 UD5

Cetak E-mel