PERPUSTAKAAN UniSZA PERKAYA BAHASA, MERAKYATKAN CERITA RAKYAT TERENGGANU

Written by Ahmad Wafi on .

Pustaka1912181 Sekalipun cerita-cerita rakyat dikhabarkan sebagai mitos, namun tidak dapat kita nafikan kebanyakan cerita yang sering didengari atau disampaikan oleh nenek moyang kita ini ternyata mempunyai pelbagai mesej serta teladan yang tersirat. Kisah-kisah seperti Si Tanggang, Malim Kundang dan Abu Nawas mempunyai banyak pengajaran dan sentiasa menghiasi halwa telinga kita sewaktu kecil.

Merakyatkan cerita rakyat dan memperkenalkannya di luar negara kita, bukan sesuatu yang mudah malahan cukup mencabar. Namun, atas dasar tanggungjawab bagi memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, Pertandingan Bercerita Dalam Bahasa Melayu Oleh Pelajar Antarabangsa UniSZA merupakan salah satu program yang diatur bagi tujuan tersebut. Program ini telah diadakan pada 18 Disember 2018 di Atrium Perpustakaan UniSZA. Pertandingan bersempena program Read@Uni Peringkat UniSZA dan kempen membaca IQRA’@UniSZA serta menjayakan Kempen Dekad Membaca dan Bahasa Kebangsaan.

Enam orang peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa UniSZA mempersembahkan pelbagai cerita rakyat yang diangkat ke pertandingan ini. Pak Si Molong, Tuk Raja Bertemu Taring, Batu Penyu, Raja Bongsu Pinang Beribut dan Pengawal Yang Bijaksana adalah sebahagian daripada cerita-cerita rakyat Terengganu yang mungkin jarang kita dengar. Namun, pertandingan yang bertemakan ‘Cerita Rakyat Negeri Terengganu’ akan memberi peluang kepada kita untuk mengetahui kisah-kisah rakyat tersebut. Selain itu, keunikan cerita rakyat ini juga dapat dikongsi bersama dengan golongan muda dan dapat mendekatkan diri mereka dengan budaya negeri Terengganu.

Pertandingan ini melibatkan peserta dari pelbagai negara iaitu Sani Shehu (Nigeria), Isyaku Hassan (Nigeria), Omar Ahmed Ahmad Moqbel Mareai (Yaman), Navarr Areepong (Thailand), Mohamed Sali Fode Toure (Guinea) dan Ammar Ahmed Ali Alkhbi (Yaman). Para peserta akan dinilai oleh dua orang juri yang dijemput untuk mengadili pertandingan ini iaitu Encik Mohamad Muhaymein Ahmed Zawawi dari Metro UniSZA@KL dan Puan Alia Nabila Alias dari Pusat Antarabangsa UniSZA.

            Dalam pada itu, tuah akhirnya memihak kepada saudara Ammar Ahmed Ali Alkhbi dari Yaman. Beliau merupakan pelajar Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) telah berjaya diangkat sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Seterusnya, bagi tempat kedua disandang oleh saudara Navarr Areepong dari Thailand (Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa) dan saudara Omar Ahmed Ahmad Moqbel Mareai dari Yaman (Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan) muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

            Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA, Encik Cornelius Anuar McAfee Abdullah dan Ketua Pustakawan UniSZA (menjalankan tugas), Puan Norulhuda Makhtar.

Pustaka1912182

 

Cetak