PERPUSTAKAAN UniSZA MARTABAT BAHASA MELAYU

Written by Ahmad Wafi on .

BM1912181 Kita selalu mendengar pernyataan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa kerana bahasa itu mempunyai gedung kata yang luas dan dituturkan oleh sebahagian besar penduduk Asia Tenggara. Dakwaan ini dibuat berlandaskan hujah bahawa bahasa Melayu berkembang dengan pesatnya sejak zaman kegemilangan Melaka dan sebelumnya. Bahasa Melayu pada masa itu banyak digunakan bukan hanya oleh keturunan Melayu tetapi juga orang asing yang datang berurusan di negara-negara Me­layu.

Bagi meneruskan usaha memartabatkan serta memperkasa bahasa Melayu, Perpustakaan UniSZA menganjurkan Pertandingan Pidato Citra Bahasa pada 18 Disember 2018 yang berlangsung di Atrium Perpustakaan UniSZA. Pertandingan ini diadakan sempena Program Read@Uni dan kempen membaca IQRA’@UniSZA. Selain itu, program tersebut yang mendapat kerjasama Kelab Orator Unit Bahasa Melayu (KOUBM), UniSZA merupakan salah satu platform bagi pelajar khususnya untuk memperluaskan penggunaan dan penguasaan dalam bahasa Melayu serta menyampaikan mesej secara lisan yang mengandungi idea, menghuraikan dan merumuskan secara berkesan melalui penyampaian pidato.

Seramai sepuluh pemidato mempersembahkan pidato masing-masing bertemakan ‘Menjulang Bahasa Melayu Ke Persada Dunia’. Program ini juga mampu mencungkil bakat-bakat baharu dalam berpidato, selain memantapkan kemahiran berkomunikasi, memupuk semangat patriotisme dan menjana daya saing secara positif. Di samping itu, aktiviti sebegini dapat menyemarakkan Program Read@Uni dan Kempen IQRA’@UniSZA.

Beberapa kriteria untuk penilaian kepada pemidato iaitu pengisian atau kandungan pidato, bahasa, gaya dan penyampaian selain dari segi spontan ketika berpidato. Setiap pemidato mempersembahkan dua pidato berlainan, iaitu wajib menggunakan tema yang diberikan untuk pidato pertama dan bagi pidato kedua, mereka akan memilih tema secara rawak yang telah disediakan pihak penganjur. Dua orang juri telah dilantik untuk mengadili pertandingan ini iaitu Dr. Abdullah Ibrahim yang merupakan Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar, UniSZA Kampus Gong Badak dan Cik Sajarah Mohd Ali (Juara Pidato Piala Perdana Menteri tahun 2018).

Dalam pada itu, pengisian segmen ‘Celik Bahasa’ turut diselitkan sepanjang program untuk berkongsi pengetahuan serta memperkemas penggunaan bahasa Melayu kita.

            Seusai pemenang diumumkan, akhirnya saudara Muhammad Fauzi bin Ismail dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) berjaya memikat hati juri dan dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Manakala saudara Najmi Adli bin Mustaffa (Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa) berjaya memenangi tempat kedua dan saudara Muhd Syarifuddin bin Che Saidi (Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi) untuk tempat ketiga.

            Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan UniSZA (menjalankan tugas), Puan Norulhuda Makhtar dan saudara Amierul Fahmie Mohamad Latif, Ketua Unit KOUBM yang turut meluangkan masa hadir ke program tersebut.

BM1912182 BM1912183

Cetak