PAMER 600 KARYA PELAJAR UniSZA DI SINGGAH SENI 4.0

SS24122 Kuala Nerus: Seramai 155 pelajar Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempamerkan hasil seni masing-masing dalam Program Singgah Seni 4.0  yang berlangsung selama enam hari bermula 21 Disember.

Pameran bukan hanya mempamer karya pelajar untuk mendapat markah, malah bertujuan menarik pengunjung dan menampilkan bakat pelajar melalui karya dihasilkan mengikut tema yang telah diberikan.

Hampir 600 karya seni pelajar dari peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dipamerkan dan semuanya dihasilkan daripada pelbagai medium mengikut jurusan masing-masing iaitu lukisan, arca, arca seramik dan foto.

Penasihat Program, Prof Madya Dr. Abdullah Sani Kamaluddin, berkata objektif utama program berkenaan adalah untuk mempamerkan hasil kerja dan kreativiti pelajar kepada orang ramai, masyarakat kampus dan pelajar sekolah yang berminat.

“64 pelajar Ijazah Sarjana Muda dari semester 1 terlibat untuk mempamerkan lapan hasil lukisan setiap dari mereka untuk dinilai oleh saya sendiri sebagai projek akhir”

“Manakala pelajar ijazah sarjana muda semester 3 pula mempamerkan hasil fotografi mereka dan pelajar diploma semester 2 mempamerkan hasil teknik lukisan mengikut tema yang diberikan”, katanya yang juga pensyarah bagi subjek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Afif Danish Mohd Adha, berkata pelajar telah diberi masa dari awal hingga akhir semester bagi memastikan projek akhir itu disiapkan sepenuhnya.

“Pelajar bermula dengan membentangkan idea, membuat lakaran dan melakukan karya cubaan, seterusnya menghasilkan karya sebenar yang semuanya mengambil masa lebih kurang empat  minggu”

“Kami juga telah ditetapkan menghasilkan karya mengikut tema yang diberikan supaya dapat meneroka kreativiti diri sendiri dan menghasilkan mengikut identiti masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Singgah Seni 4.0 di Perpustakaan UniSZA.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Dekan FRIT, Dr. Siti Maryam Sharun.

SS24125   SS24123   SS24124   SS24121  

Cetak