PROGRAM WACANA PEMIKIRAN ISLAM SEMASA 2014

301214-WACANA Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan satu program akademik bertajuk Wacana Pemikiran Islam Semasa 2014 bertempat di Dewan Perdana UniSZA, Kampus Gong Badak. Program anjuran Persatuan Mahasiswa Usuluddin dan Pusat Pengajian Usuluddin UniSZA dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Terengganu dan Pejabat Timbalan Naib Canselor  (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA itu dihadiri 600 peserta termasuklah mahasiswa UniSZA, wakil-wakil IPT sekitar, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat. Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Prof. Madya Dr. Engku Muhammad Tajuddin Engku Ali, berkata program itu merupakan salah satu sumbangan UniSZA terhadap komuniti masyarakat bagi berkongsi pengetahuan dalam pelbagai bidang kepakaran antaranya berkaitan pengajian Islam.

“Program sebegini seharusnya diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pendedahan isu-isu semasa yang boleh merosakkan akidah umat Islam dan seterusnya memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia,” katanya. Sementara itu, Ketua Cawangan Khas PDRM Terengganu, ACP Ahmad Hairuddin Mokhtar, dalam ucapannya menyatakan bahawa PDRM turut memainkan peranan penting bekerjasama dalam menangani ajaran Islam yang menyeleweng. “Ini kerana penyelewengan serta salah faham yang berlaku akan mengakibatkan masyarakat di Malaysia berada dalam keadaan tidak tenteram dan mengundang persengketaan sesama Islam. “PDRM juga sentiasa komited terhadap usaha-usaha program sebegini dalam menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada seluruh masyarakat di Malaysia,” katanya pada majlis berkenaan. Objektif utama program Wacana Pemikiran Islam Semasa 2014 ini dianjurkan adalah untuk mendedahkan tentang pelbagai penyelewengan dalam pemikiran Islam masa kini di Malaysia, sama ada ianya muncul daripada dalam Islam sendiri seperti ajaran sesat, Syiah, Wahabi dan lain-lain, atau daripada luar Islam seperti Liberalisme, Pluralisme dan sebagainya lagi. Hal ini berlaku apabila umat Islam kurang mengambil berat tentang isu-isu akidah serta kurangnya pendedahan mengenai gerakan dan penyebaran doktrin-doktrin menyeleweng tersebut sehingga mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Turut didedahkan dalam program ini berkaitan ancaman ekstremis agama Islamic State (IS) di Malaysia. Dua panel pembentang dijemput bagi menjelaskan persoalan ini iaitu Al-fadhil Ust. Muhammad Rashidi bin Haji Wahab dari UniSZA dan Insp. Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff dari PDRM Bukit Aman. Dalam tinjaun yang dijalankan selepas program, rata-rata peserta yang ditemui berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan oleh kedua-dua panel jemputan dan berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperbanyakkan lagi dalam kerangka yang lebih besar. Selain itu, beberapa orang peserta berpendapat bahawa setiap mahasiswa Islam hendaklah didedahkan dengan pelbagai cabaran dan serangan pemikiran semasa agar agama Islam dapat terpelihara di Malaysia. Manakala Saudara Mohamad Yusuf bin Ismadi, Pengarah Program, dalam ucapan penangguhannya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Wacana Pemikiran Islam Semasa 2014 ini.

301214-WACANA-3

Cetak E-mel