AMMAR RAIH TIGA ANUGERAH TOKOH KEPIMPINAN SISWA UniSZA

Ammar1 Kuala Nerus: Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Ammar Rafiq Ruslan, 24, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Tokoh Siswa 2018 sekaligus membawa pulang wang tunai RM 1000.00 berserta trofi dan sijil pada majlis Malam Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa 2018 UniSZA yang berlangsung di Dewan Perdana, semalam

Berasal dari Kuala Selangor, Ammar turut cemerlang apabila menerima Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek serta Anugerah Khas iaitu Anugerah Kepimpinan Terbaiki dan meraih wang tunai RM 500 bagi setiap kategori.

Ammar ketika ditemui berkata beliau begitu bersyukur dan gembira kerana anugerah diterima itu adalah satu pengiktirafan dari UniSZA kepadanya yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepemimpinan dengan penglibatan aktiviti di dalam dan luar negara.

“Walaupun saingan agak ramai dan masing-masing mempunyai kelebihan mereka tersendiri, saya masih tak sangka yang saya dipilih untuk Anugerah Utama ini walaupun rakan yang lain pun sama hebat”

Ammar yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi & Dakwah) berharap agar dapat menjadi seoarang mahasiswa yang dapat memberi sumbangan pada masyarakat selepas tamat pengajian.

“InsyaAllah, lepas habis belajar saya mahu buka sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menyumbang pada masyarakat setempat dalam apa jua bidang yang diperlukan”

“Mungkin saya boleh bantu masyarakat melalui pengalaman yang saya ada sepanajang belajar di UniSZA seperti pengucapan awam dan kesukarelawanan”, katanya.

Katanya lagi, hasrat untuk menubuhkan NGO berkenaan juga adalah untuk  mengumpul alumni UniSZA yang aktif semasa pengajian untuk sama-sama membantu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif, berkata Malam Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa 2018 itu adalah anugerah kali keenam diadakan  bertujuan memberi pengiktirafan kepada mahasiswa yang bergiat aktif dalam mengerakkan aktiviti-aktiviti mahasiswa.

“Malam Anugerah ini juga memberi dorongan kepada pelapis baru supaya mampu menjadi penggerak dan pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan”

“Malah, dengan adanya anugerah seperti ini ia dapat menonjolkan bakat kepimpinan mahasiswa dalam bidang masing-masing sekaligus menjadi ikon kepada pelajar yang lain,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni), Prof Madya Dr. Mohd Afandi Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ir Dr. R Badlishah Ahmad.

Bertemakan hitam dan emas, sebanyak 18 anugerah telah  dipertandingkan antaranya Anugerah Khas Sukan, Anugerah Khas Badan Beruniform, Anugerah Khas Sukarelawan, Anugerah Khas Kebudayan dan Anugerah Khas Keusahawanan.

Pemenang anugerah masing-masing membawa pulang wang tunai RM 500.00 beserta trofi dan sijil penghargaan.

Ammar2

Cetak E-mel