PELAJAR UniSZA, SAJARAH JUARA PABM 2018

MP1112181 Kuala Nerus - Peserta dari Kemboja, Sajarah Mohd. Ali, 27, yang menambat hati juri dengan persembahan tersendiri muncul juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 kategori Antarabangsa di Malaysia.

Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini malam tadi, Sajarah yang merupakan penuntut tahun dua Sarjana Dakwah di UniSZA memilih tajuk pidato Keamanan Dunia Tanggungjawab Bersama.

Sementara itu, peserta dari Bangladesh, Nafisa Mayukh, 20, terpaksa berpuas hati sebagai naib juara manakala Mahad Mohamed, 22, dari United Kingdom diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori sama.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Turut hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dr. Mohd. Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif.

Bagi kategori Antarabangsa, juara diraih peserta dari China, Xu Yang atau lebih dikenali sebagai Izzah, 19, menerusi pidato bertajuk Mahasiswa Peneraju Kelangsungan Negara manakala Aurore Jeannot, 27, dari Perancis (kedua) dan Leon Woltermann dari Jerman (ketiga).

Peserta Malaysia, Muhammad Syahmi Akif Jamili, 23, dinobatkan sebagai juara kategori Alam Melayu di samping peserta Thailand, Huda Ahmad, 18, (kedua) dan tempat ketiga, Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto, 22.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta piala pusingan, piala iringan serta sijil.

Naib johan membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 (plak iringan serta sijil) manakala tempat ketiga menerima RM5,000 (plak iringan serta sijil).

Seramai 50 peserta dari 31 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2018 yang bermula Ahad lalu, namun hanya sembilan peserta yang layak ke peringkat akhir

Cetak E-mel