• Utama
  • Berita
  • AMIR ZAINUDDIN, ONG YING QIAN TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA

AMIR ZAINUDDIN, ONG YING QIAN TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA

konvo7 Kuala Nerus – Biarpun dilahirkan dalam keluarga kurang berkemampuan, dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-10 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuktikan bahawa status keluarga bukan halangan untuk berjaya.

Malah, kedua-dua graduan iaitu Muhamad Amir Zainudin, 24, dan Ong Ying Qian, 24, menjadikan kesempitan hidup sebagai pembakar semangat untuk merubah nasib keluarga.

Muhamad Amir berkata, sejak kecil lagi dia bertekad untuk berjaya terutama dalam pelajaran agar dapat membantu keluarga, apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal.

“Saya bukan daripada keluarga senang dan hari ini, saya berjaya buktikan yang latar belakang tidak menghalang seseorang itu untuk berjaya selagi kita mempunyai keazaman tinggi,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab ini.

Menurut anak kepada pasangan Zainudin Wahab, 57, dan Ramlah Abdullah, 48, kejayaan itu didedikasikan buat ibu bapanya yang telah banyak berkorban dalam memberikan pendidikan terbaik kepada dia lima beradik.

“Ayah menyara kami dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala ibu pula tidak bekerja,” katanya.

Muhamad Amir yang kini bekerja sebagai penganalisis kandungan di Kuala Lumpur, sedang mengintai peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana seterusnya doktor falsafah (PhD) bagi merealisasikan impiannya bergelar pensyarah.

Sementara bagi Ying Qian pula yang berasal dari Mentakab, Pahang, dia selalu percaya bahawa kejayaan akan dicapai jika diiringi dengan kegigihan dan kesungguhan.

“Sebagai anak sulung, saya jadi harapan keluarga dan saya sedih sebab bapa, Ong The, 68, masih lagi bekerja untuk sara kami dua beradik.

“Adik lelaki, Ong Yu Xuan, 23, sedang menuntut di UniSZA dalam bidang perubatan dan kami dua beradik tekad mahu membahagiakan mereka dengan kejayaan ini,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik ini yang kini menjadi pembantu penyelidik di universiti sama.

Dalam pada itu, kedua-dua graduan cemerlang berkenaan turut menerima RM7,500 sijil dan pingat bersadur emas disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

konvo8 konvo9

Cetak E-mel