BANK ISLAM SERAH RM100,000 KEPADA WAKAF UniSZA

BankIslam KUALA NERUS: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM100,000 kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam sebuah majlis di Bilik Mesyuarat Senat, UniSZA Kampus Perubatan

BIMB selaku peneraju kewangan Islam di Malaysia merupakan antara pihak yang kekal komited membantu pihak UniSZA untuk memartabatkan agenda wakaf dan infaq di universiti.

Pada tahun lepas, UniSZA telah mengagihkan sejumlah RM1,059,515 menerusi peruntukan wakaf, zakat dan derma.

Prof Dr Ahmad Zubaidi ketika ditemui berkata, UniSZA memperuntukkan dana sedemikian bagi tujuan dermasiswa, kemudahan komputer riba, bayaran tuisyen percuma, elaun penginapan, biasiswa wakaf, peralatan kesihatan, kelengkapan asas fisioterapi, bantuan modal perniagaan siswapreneur, insentif menghafal al-Quran, program makan percuma secara berkala dan pembiayaan latihan industri di luar negara sekaligus dapat membantu meringankan kehidupan golongan mahasiswa di universiti itu.

“Setakat ini, selain pelajar bukan Islam, pelajar terutamanya mereka yang kurang bernasib baik dari segi status sosio-ekonomi dan kesempurnaan fizikal turut menerima manfaat daripada sumbangan itu”

"Kami berharap segala inisiatif ini dapat membantu siswa siswi yang memerlukan, selain memartabatkan agenda wakaf dan infaq di universiti,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Pengurus Wilayah Timur Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Puan Wan Rosita Wan Mohamad, menyerahkan sumbangan berkenaan bagi pihak BIMB kepada Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin Abdul Latif, sambil disaksikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Osman Muda.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Dato’ Wan Ismail bin Wan Yusoh, Penasihat Wakaf UniSZA, Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Pengarah Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA dan delegasi BIMB.

Cetak E-mel