PUSAT TERNAKAN KAMBING UniSZA HASIL BAKA KAMBING 18 BULAN LAGI

Kambing1 BESUT - Pusat Ternakan Kambing Tenusu Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) di Bukit Marak, Pasir Akar, Hulu Besut dijangka mengeluarkan baka kambingnya yang pertama dikenali sebagai 'UnisZA Saanen' dalam tempoh 18 bulan lagi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pusat yang kini dikendalikan tiga pakar berkaitan penternakan kambing itu juga dijangka menjadi pusat pengeluar susu kambing yang berkualiti.

Buat masa ini usaha sedang dilakukan untuk memastikan kesemua 400 ekor kambing yang dibawa masuk dari Australia itu menghasilkan baka yang baik dan berupaya membekalkan susu yang berkualiti untuk pasaran dalam negara, katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke pusat ternakan tersebut hari ini.

Menurut Idris pusat itu turut mendapat bantuan kepakaran daripada beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar , Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan agensi pembangunan tempatan dalam usaha menjadikannya pusat pengeluar benih dan susu kambing berkualiti daam beberapa tahun akan datang.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata UnisZA dijangka memperluas pusat ternakan itu dalam masa terdekat dengan mengimport 200 ekor lagi kambing jenis Saanen dari Australia tidak lama lagi.

Kambing-kambing terbabit adalah dari sebuah ladang terbaik di Melbourne yang mampu melahirkan dua ekor anak serta mengeluarkan susu sekurang-kurangnya dua liter sehari, katanya.

"Apabila rancangan pembiakan berjalan lancar seperti dijadualkan, UniSZA akan membahagi-bahagikan kambing untuk diternak oleh mereka yang mempunyai minat dalam pemeliharaan kambing di daerah Besut sebelum akan diperluaskan di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata pada masa ini terdapat 100 pelajar UnisZA sedang mengikuti pembelajaran mengenai ternakan kambing di pusat itu yang dilaksanakan menerusi program 2 Tahun Universiti 2 Tahun Industri (2U2I).

Program itu akan membantu pelajar terbabit bersedia menceburi bidang kambing apabila tamat pengajian kelak, katanya.

Kambing2   Kambing3

Cetak E-mel