jata Portal Rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia
Cetak

PELAJAR SISWAZAH FIK HARUMKAN NAMA UniSZA DALAM DUA PERTANDINGAN INOVASI

inabah1Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Aini Khainani Binti Mohamad Salleh yang sedang mengikuti  pengajian Sarjana Sains (Data Mining) di Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) telah berjaya memenangi pingat perak dalam pertandingan International Invention, Innovation & Design (IIID) Johor 2017 bagikategori Sains dan Teknologi Peringkat B: Ketiga (Level B: Tertiary) yang telah berlangsung pada 9 Mac 2017. Pingat perak sumbangan beliau ini merupakan antara 3 butir pingat perak yang dianugerahkan bagi kategori ini.

Produk yang diciptakan oleh Aini bersama penyelia utamanya, Prof. Madya Dr. Mokhairi Makhtar iaitu Relapse Prediction System Among Drug Addicts (RePSDA) adalah di antara  260 penyertaan yang memeriahkan IIID Johor 2017. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Grand Ballroom, Amansari Residence Resort Bandar Seri Alam, Johor. Antara objektif pertandingan ini adalah bagi menggalakkan budaya berinovasi serta kreatif dalam kalangan profesional dan pelajar universiti dari pelbagai bidang.

Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk menonjolkan ciptaan baru dalam bidang sains, ICT, sains sosial, perniagaan dan pengurusan. Ia juga adalah bagi menjana rekabentuk dan ciptaan yang boleh dikomersialkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sebelum itu, Aini turut memperoleh hadiah saguhati dalam pertandingan Inovasi Dr. Abu Hasan (DAIC) di mana beliau mempertaruhkan produk yang sama iaitu RePSDA. Pertandingan akhir telah berlangsung pada 8 Mac 2017 bertempat di UniSZA Kampus Besut setelah melalui tiga tapisan awal yang agak ketat.

Seramai 30 orang peserta dalam kalangan pelajar universiti telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan hanya pemenang tempat ke-2, ke-3 beserta 3 hadiah saguhati dipilih oleh pihak penganjur yang sangat mementingkan kualiti dan kemampuan pengkomesialan produk. DAIC bertujuan untuk memberi penghargaan kepada produk asal yang paling berdaya cipta dan juga untuk mengenalpasti ciptaan yang berpotensi serta memberi fokus kepada isu-isu United Nation Sustainable Development Goals.

Menurut Aini, beliau amat berbangga dapat mengharumkan nama UniSZA serta menyeru semua pelajar agar berani mencuba dalam menghasilkan produk- produk yang kreatif dan inovatif untuk kemajuan negara. Jutaan terima kasih beliau juga ditujukan kepada Prof. Madya Dr. Mokhairi Makhtar yang banyak memberi bimbingan dan motivasi kepada beliau selama ini.  

Produk RePSDA merupakan hasil inovasi unik daripada projek induk bertajuk Integrasi Data Klinikal Dan Kualiti Hidup Terapi Inabah Untuk Pembangunan Model Sokongan Keputusan Berkomputer Berasaskan Teknik Neural Network Bagi Penagihan Dadah yang sedang dilaksanakan menerusi pembiayaan geran Special Research Grant Scheme (SRGS) R 177 di bawah naungan Fakulti Sains Kesihatan sejak tahun 2016. 

inabah2 inabah3