2,485 graduan di Konvokesyen UniSZA Kali ke 6

konvo1 Kuala Nerus: Seramai 2,485 graduan menerima ijazah masing-masing dalam majlis konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke 6 yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember. Daripada 2,485, enam graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, manakala 22 graduan sarjana, 824 pula sarjana muda dan diploma seramai 1,633. Daripada jumlah itu juga, 11 penerima merupakan graduan antarabangsa dan angka tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 42 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula 2012. 

Pada majlis berkenaan, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria telah  dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada UniSZA sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan ketokohannya di dalam bidang itu. Selain beliau, turut menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran ialah Perunding Kanan kepada Jabatan Perdana Menteri, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam bidang Doktor Perubatan dan Gabenor Negeri Kano Nigeria, Ir. Dr. Rabiu Musa Kwan­kwaso (Doktor Falsafah Kepimpinan Pendidikan). Anugerah istimewa itu disampaikan oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor kepada ketiga-tiga mereka  pada sidang pertama dalam majlis berkenaan  di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini. Yang turut hadir, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Shaikh Harun Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim.

 Dalam majlis itu juga, pelajar Fakulti Biosumber dan Teknologi Makanan, Ahmad Hanafi Sulung, 23, serta Vivian Lam Shi Wei, 24, dari Fakulti Seni Reka dan Teknologi Kejuruteraan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja, iaitu pengiktirafan tertinggi yang julung kali diperkenalkan tahun ini. Sidang pertama menyaksikan seramai 314 graduan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan menerima ijazah masing-masing. Antara penerima anugerah terbaik setiap fakulti itu ialah Deacon Chew, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi; Rozana Che Pa, 25, (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan), Nurfaten Hamimah Abdul Hamid, 23, (Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan), Siti Saodah Zakaria, (Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian), Seet Kwee Kim, (Ijazah Sarjana Muda Teknolgi Makanan),Nurul Qasrina Nadira Zakaria,(Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian), Siti Azzahra Abdul Razly,(Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang),Nurul Adila Zakaria,(Ijazah Sarjana Muda Sins Komputer) dan Nurul Afidah Mohd Toridi (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam. 

Sementara itu, Nurul Afiqah Ahmad dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan turut menerima Anugerah Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT) yang juga merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Makanan. Pada konvokesyen kali ini, UniSZA juga berjaya melahirkan graduan sulung dari Fakulti Perubatan dan Sains iaitu 28 graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan serta 20 graduan Diploma Fisioterapi.

GAMBAR : MOHD RADZI BIN ABDUL KADIR  & MOHD ROBI BIN NORDIN @ AZIZ 

konvo2   konvo4   konvo3   konvo5  

Cetak E-mel