• Home
  • Berita
  • UniSZA Pantau Kesihatan Mahasiswa melalui UKJK

UniSZA Pantau Kesihatan Mahasiswa melalui UKJK

2002201 Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti pertama di Pantai Timur yang melaksanakan program Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) kepada semua pelajar dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik, sihat dari sudut fizikal dan mental

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Mohd Afandi Salleh, berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan seluruh warga UniSZA di samping melahirkan para graduan yang sihat dari segi fizikal dan mental.

“UKJK ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 7 March 2020 dan semua pelajar wajib menjalani UKJK ini”

“Dengan adanya program ini, InsyaAllah pihak universiti akan dapat memantau perkembangan kesihatan mahasiswa di sepanjang tempoh pengajian mereka di UniSZA”, katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian UKJK di Dewan Gemilang, UniSZA.

Katanya lagi, pihak universiti juga telah membangunkan sebuah aplikasi kesihatan 'UniWellness' yang boleh dimuat turun oleh mahasiswa dalam telefon pintar masing-masing bagi melihat perkembangan kecergasan dari masa ke semasa.

Menurut Prof Afandi, ujian yang dilaksanakan termasuklah jangkauan melunjur, tekan tubi, bangkit tubi, lompat jauh berdiri serta larian sejauh 2.4 kilometer.

“Mereka juga melakukan pemeriksaan kesihatan oleh pelajar Fakulti Sains Kesihatan serta dari Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA selain mengenal pasti berat dan ketinggian mereka samada normal, obesiti atau tidak normal”

“UKJK ini bukan sahaja untuk memeriksa tahap kesihatan dan kecergasan malah ia juga dapat memastikan bahawa mahasiswa UniSZA kekal cergas dan aktif sebelum, semasa dan selepas menjadi graduan”, katanya.

Sementara itu, Pengarah Program UKJK, Nor Faqid Idham Nasrul Nor Azali, berkata program itu menunjukkan keseriusan pihak universiti dalam merangka program berimpak tinggi kepada pelajar dalam memastikan pelajar tidak sahaja cerdas dalam akademik tetapi cergas juga dari aspek kesihatan jasmani dan mental.

“Ia sesuai dengan pepatah 'akal yang sihat berasal dari jasmani yang sihat' dan ini adalah satu langkah bijak dari pihak universiti dalam memastikan mahasiswa-mahasiswi sentiasa berada di tahap kecergasan yang baik”, kataya ketika ditemui.

2002202   2002203

Print Email