UniSZA pupuk minat sains 46 si cilik

Written by Ahmad Wafi on .

WhatsApp Image 2019 08 21 at 12.26.25 Tembila - Statistik terkini menunjukkan kemerosotan yang nyata terhadap bilangan pelajar aliran sains di Negara ini menyebabkan terdapat kursus-kursus di universiti aliran sains dan teknologi mengalami kekurangan pelajar.

Bagi memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan telah mengadakan ’Kem Sains’ pada 13 dan 14 Ogos 2019 bertempat di Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) Kampus Besut.

Program ini telah disertai oleh 46 peserta yang berumur 5 hingga 12 tahun. Kebanyakan peserta adalah dari negeri pantai timur iaitu 30 peserta dari Terengganu, 5 dari Pahang, 6 dari Kelantan dan selebihnya dari Selangor.

Dekan FBIM, Prof Madya Dr Khamsah Suryati Mohd berkata,  amat penting bagi kita untuk menanam dan menyuburkan minat anak-anak kita kepada sains kerana generasi inilah yang akan menjadi kunci kepada kelestarian negara kita.

”Kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak awal persekolahan kena mereka pada usia ini tahap curiosity yang tinggi tentang sains dan alam sekitar”, katanya

Menurutnya lagi, terdapat empat kem pembelajaran berasaskan sains telah dijalankan iaitu ‘Microbes Around You’, ‘Ice Cream Making’, ‘Animal Farm and Lets Grow Plant’ dan ‘Pizza and Cup Cake Decoration’.

“Kem ‘Microbes Around You’ memberi peluang kepada para peserta untuk mengenalpasti kewujudan organisma mikro yang terdapat di alam sekeliling. Mereka diminta untuk mengambil sampel air longkang dan pasir; kemudiannya melihat mikroorganisma yang terdapat di dalam sampel tersebut menggunakan mikroskop”

“Setiap peserta diberi peluang untuk mencerap mikroorganisma tersebut supaya mereka mengambil berat konsep menjaga kebersihan semasa bermain di luar rumah. Pengetahuan ini sangat penting bagi mendidik kanak-kanak menjaga kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum makan, mandi selepas bermain di luar rumah, dan mengenakan pakaian yang bersih setiap hari”, katanya.

Sementara itu, semasa kem ‘Animal Farm and Lets Grow Plant’, peserta dibawa melawat taman haiwan yang terletak di Kampus Besut menaiki bas UniSZA.

Keterujaan jelas terpancar di wajah kebanyakan peserta kerana ada di antara mereka yang tidak mempunyai pengalaman menaiki bas.

Semasa di taman haiwan, peserta diberi kesempatan untuk memberi makan kepada rusa-rusa yang terdapat di sana. Mereka juga dapat melihat burung unta dengan lebih dekat.

Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memupuk sifat kasih sayang kepada binatang dan sifat berani untuk mencuba sesuatu yang baru.

Selepas itu, peserta dibawa ke Unit Ladang FBIM untuk belajar menanam pokok bunga. Mereka telah diberi pasu, sarung tangan, tanah semaian dan keratan pokok bunga ros jepun.

Peserta diajar kaedah penanaman, pembajaan dan penyiraman pokok bunga yang betul. Pihak urusetia telah memberi kebenaran kepada para peserta untuk membawa pulang pokok-pokok bunga yang ditanam oleh mereka untuk dihadiahkan kepada ibu bapa apabila program tersebut selesai.

Keterujaan dan kegembiraan semasa aktiviti ini jelas terpancar di wajah kanak-kanak tersebut apabila mereka tidak sabar-sabar untuk pulang dan membantu ibubapa mereka menghias persekitaran rumah dengan tanaman bunga-bungaan.

Aktiviti yang paling disukai oleh para peserta adalah Kem ‘Ice Cream Making’ dan Kem ‘Pizza and Cup Cake Decoration’. Semasa Kem ‘Ice Cream Making’, peserta di ajar untuk membuat aiskrim menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi di rumah.

Setiap peserta diberikan bahan seperti susu, gula dan ais; dan diminta untuk menghasilkan aiskrim buatan mereka sendiri. Rata-rata peserta merasa sangat teruja dengan aktiviti ini kerana mereka merasakan bahawa proses penghasilan aiskrim adalah sesuatu yang rumit dan hanya boleh dibeli di kedai.

Ramai peserta tidak sabar untuk pulang dan mengajar ibubapa mereka cara membuat aiskrim sendiri di mana mereka berkeyakinan bahawa selepas itu mereka tidak lagi perlu meminta wang daripada ibubapa untuk membeli aiskrim yang mahal di kedai.

Untuk Kem ‘Pizza and Cup Cake Decoration’ pula, peserta diberi roti pizza dan kek cawan. Mereka kemudiannya diminta menghias roti pizza dan kek cawan mereka menggunakan bahan-bahan yang disediakan mengikut kreativiti mereka sendiri. Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk membina keyakinan diri di kalangan peserta dan memberi peluang kepada mereka untuk berfikir secara kreatif.

Secara keseluruhannya, kem sains yang diadakan ini diyakini dapat mengasuh minda dan sahsiah peserta ke arah yang lebih baik sesuai dengan misi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan insan yang berkebolehan, berketerampilan dan holistik.

Berdasarkan maklumbalas yang amat positif dan menggalakkan dari anak-anak peserta dan ibubapa, fakulti memberi jaminan bahawa FBIM akan mengadakan Kem Sains pada setiap cuti penggal persekolahan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak merasai kaedah pembelajaran sains di universiti seterusnya memupuk semangat sukakan sains.

WhatsApp Image 2019 08 21 at 12.26.251 WhatsApp Image 2019 08 21 at 12.26.24 WhatsApp Image 2019 08 21 at 12.26.26

Print