PROGRAM TRANSFORMASI MINDA KAKITANGAN UniSZA 2016

DSC 1115 BESUT– Pejabat Pendaftar,Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Program Transformasi Minda 2016 di Tanjung Demong Beach Resort, Besut, Terengganu. Program yang berlangsung selama 7 hari 6 malam ini telah diadakan pada 21 hingga 27 Ogos 2016. Tujuan pelaksanaan Program Transformasi Minda ini adalah sebagai salah satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.

Seramai 50 orang peserta telah terlibat di dalam Program Transformasi Minda pada kali ini yang merangkumi kakitangan UniSZA daripada pelbagai jawatan dalam bidang akademik dan bukan akademik yang berjawatan tetap. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam.

Selain itu, pelaksanaan program ini akan dapat menerapkan nilai budaya kerja cemerlang kepada setiap peserta agar dapat memberikan perkhidmatan dengan cekap serta berkesan dan memastikan setiap peserta diisi dengan pemikiran minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung yang merangkumi 3 segmen iaitu Negara dan Perkhidmatan Awam, Tanggungjawab dan Peranan Pegawai dan Budaya Kerja Kelas Pertama.

Penceramah-penceramah yang terlibat disepanjang aktiviti berlangsung adalah pegawai-pegawai daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Biro Tatanegara (BTN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) serta pegawai daripada UniSZA sendiri. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Encik Mahammed bin Ismail yang turut menyampaikan amanat-amanat penting kepada peserta.

Print Email