PWB Komited Turun Padang Kongsi Ilmu Dan Pengalaman Baharu Bersama Pelajar
Ramai cerdik pandai menyifatkan pengalaman sebagai guru terbaik dalam kehidupan. Pengalaman mampu memberi impak besar dalam diri seseorang dan membuka minda supaya lebih berfikiran luas dan kreatif. Selain itu, pengalaman yang dimiliki mampu menjadikan seseorang lebih matang dan mendidik jiwa kita supaya lebih kuat untuk mendepani pelbagai cabaran dan masalah yang akan datang.
Inilah antara hasrat yang ingin dicapai oleh Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) dalam menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Usaha mencapai hasrat tersebut direalisasikan dengan kerjasama sembilan buah sekolah di Kuala Nerus bagi menganjurkan Bengkel Penjilidan dan Pembaikan Ringan Bahan Perpustakaan 2022. Bengkel tersebut berlangsung di Auditoium Perpustakaan, Kampus Gong Badak. pada 18 Julai 2022.
Hasrat ini juga turut dinyatakan oleh Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Norulhuda Makhtar ketika berucap di Majlis Penutup bengkel tersebut.
“Proses pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terbatas di dalam kelas semata-mata. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat. Oleh itu, bagi menyokong usaha tersebut, bengkel ini diadakan agar dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran lain selain di sekolah. Selain memberi pendedahan kepada para guru dan pelajar mengenai aspek penjilidan dan pembaikan, bengkel ini juga akan dapat memberi ilmu dan pengetahuan baharu kepada warga pendidikan tentang pentingnya memelihara fizikal bahan dan kandungan bahan-bahan rujukan tersebut.
“Semoga dengan perkongsian ilmu ini, para pelajar dapat menggarap pengalaman yang berharga sepanjang berada di alam persekolahan kerana pengalaman sememangnya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit”, katanya.
Bengkel selama sehari ini telah melibatkan seramai sembilan orang guru dan 42 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit, SK Kompleks Seberang Takir, SK Gong Badak, SK Kompleks Gong Badak, SK Tok Jiring, SK Seberang Takir, SK Kompleks Mengabang Telipot, SK Mengabang Telipot dan SK Tengku Bariah.
Para guru dan pelajar telah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar mengenai kaedah pemuliharaan bahan daripada enam fasilitator iaitu Puan Puspa A. Rashid, Encik Nazli Embong, Encik Haniff Rizal Mohd Zahid, Encik Hilmie Aiman Abdullah, Encik Mohd Farouq Nurul Huda@ Ariffin dan Puan Nor Azreen Mamat.
18 JULAI 2022
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA