Raikan Ramadan dengan ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ di PWB
Program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ bukanlah suatu yang asing bagi warga Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB). Setiap tahun, program ini diadakan sebagai tanda sokongan sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia 2022. Program ini berlangsung pada 25 April 2022 di PWB Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut.
Pada program kali ini yang dijalankan selama 10 minit bermula pada jam 11.00 – 11.10 pagi tadi, disertai pelbagai peringkat warga UniSZA yang sama- sama memeriahkan program sambutan tersebut. Apa yang lebih menarik, program ini turut dijalankan pada bulan mulia, bulan Ramadan.
Bagi program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’, mereka digalakkan untuk membaca dalam tempoh 10 minit, bermula tepat pada jam 11.00 pagi, tidak kira di mana mereka berada dengan membaca bahan-bahan bacaan yang bersesuaian. Program ini turut melibatkan bukan sahaja mereka yang berada di PWB, Kampus Gong Badak malahan turut membabitkan Kampus Perubatan dan Kampus Besut.
Program ini dianjurkan bertujuan untuk menyemai dan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia di samping memperingati sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022. Malahan juga merupakan suatu usaha untuk membuka mata masyarakat dalam mewujudkan kesedaran mereka mengenai dunia membaca, dunia penerbitan buku, sehinggalah kepada hak cipta.
Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia juga mampu menjadi medium untuk mengajak masyarakat supaya lebih mengenali karya–karya atau bahan bacaan yang menarik.Ini bertujuan memartabatkan kedudukan buku sebagai sumber pengetahuan utama di dunia. Umum sudah maklum bahawa di dasawarsa ini, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini semakin menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat, tetapi buku yang menjadi wadah untuk membina peradaban dunia tetap kekal dan tidak berubah, sekalipun dunia semakin laju bergerak dengan gajet dan media hiburan berbentuk elektronik.
Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah resolusi daripada persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Nov 1995 yang mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku.
25 APRIL 2022
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA