Minggu Perpustakaan 2017 live,love,life@library
Minggu Perpustakaan UniSZA 2017 kini menjelma lagi bermula 12 hingga 16 November 2017 dengan pelbagai pengisian menarik. Program tahunan yang merupakan aktiviti wajib dalam kalendar aktiviti Perpustakaan UniSZA diadakan selama lima hari bertempat di Perpustakaan UniSZA.
Antara objektif program ini adalah untuk mempromosi perkhidmatan Perpustakaan kepada warga universiti serta menonjolkan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan.
Antara pengisian pada kali ini ialah Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Pameran dan Jualan Produk dengan kerjasama pelbagai syarikat tempatan, Latihan Pangkalan Data dan Minggu Diskaun Denda kepada para pengguna.
Selain ingin memenuhi matlamat utama untuk menjadikan perpustakaan sebagai tumpuan utama rujukan para pengguna, Perpustakaan UniSZA juga ingin mengajak seluruh warga UniSZA untuk sama-sama melibatkan diri dalam menjalankan kerja-kerja amal di mana Grab Our Preloved iaitu aktiviti berbentuk jualan sambil beramal turut diadakan bagi memenuhi tujuan tersebut. Ia adalah aktiviti jualan pelbagai bahan bacaan fiksyen yang disumbangkan oleh warga UniSZA. Hasil kutipan jualan amal ini pula akan disalurkan kepada Dana Wakaf UniSZA.
Dalam pada itu, Perpustakaan UniSZA turut mengadakan PG’s Day iaitu pengisian berbentuk bengkel yang merupakan sesi perkongsian ilmu sebagai usaha memenuhi tanggungjawab Perpustakaan UniSZA dalam membantu para pelajar siswazah.
Lain-lain aktiviti yang sedang berlangsung ialah Pameran Sedekad UniSZA, Minggu Diskaun Denda dan Jualan Al-Luqotoh.
Selain daripada pelbagai pengisian tersebut, Perpustakaan UniSZA turut menyediakan anugerah istimewa kepada pengguna, iaitu anugerah Peminjam Terbanyak untuk pensyarah dan pelajar, dan anugerah Pengunjung Paling Aktif. Anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan Perpustakaan UniSZA kepada para pengguna yang aktif meminjam bahan serta kerap mengunjungi perpustakaan.
Minggu Perpustakaan 2017 telah dirasmikan oleh Pendaftar UniSZA, Encik Ismail bin Ahmad. Pada majlis tersebut, turut dilancarkan akaun Instagram UniSZA bagi memberi ruang kepada para pengguna untuk berkomunikasi dengan warga Perpustakaan UniSZA melalui penggunaan media sosial.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA