Print

Pustakawan Kanan UniSZA Saran Kuasai Kemahiran Membaca, Terapkan Pemikiran Kritis

Kemahiran membaca perlu dikuasai secara mutlak, dalam menghadapi era global. Di era globalisasi kini, membaca akan semakin penting peranannya sebagai sarana untuk mencerdaskan kehidupan bangsa. Kita juga harus menerapkan prinsip-prinsip kritis pada bacaan kita sehari-hari, selain turut meningkatkan minat membaca, kerana orang yang membaca dengan baik adalah orang yang juga dapat berfikir dengan baik. Seorang pembaca yang baik tahu mengapa dia membaca, mencari informasi dan juga tahu untuk menikmati bacaannya. Pembaca yang baik memahami apa yang dibacanya, dan pembaca yang baik mampu menguasai kemahiran kecepatan membaca. Demikian antara petikan ucapan oleh  Pustakawan Kanan, UniSZA, Encik Mohd Sabri Muda ketika beliau hadir mewakili Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman, bagi merasmikan program Kem Membaca 1 Malaysia (KM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SMKKGB), Kuala Nerus.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyarankan agar golongan muda, khususnya para pelajar mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran membaca ini bagi memantapkan lagi personaliti diri, yang bukan hanya terletak pada ilmu yang diajarkan oleh guru-guru semata-mata. Membaca juga mampu mendidik para pelajar supaya lebih matang, rasional dan berfikiran lebih luas di luar kotak.

Beliau menambah, tema KM1M iaitu “Membaca Menjana Pemikiran 1 Malaysia” adalah amat bertepatan dalam melahirkan golongan muda yang bukan sahaja mantap dari segi ilmunya, tetapi hebat dari segi pemikiran dan kreativitinya.

Majlis perasmian tersebut berlangsung pada 4 April 2017 di Dataran Ar-Rashidin, SMKKGB. Majlis turut dihadiri Encik Abu Bakar R.A Mohd Abdullah, Pengetua SMKKGB, Tuan Syed Abd Rahman Hlmi Syed Zain (Penolong Kanan Ko-Kurikulum), guru-guru dan para pelajar SMKKGB.

Usai majlis tersebut, Encik Sabri sempat meluangkan masa untuk sidang media bersama TV Al-Biruni, Program TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) SMKKGB.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                         RELATED LINKS 
 

 

 

 

 
                 CONTACT US
           
Open source productions