UniSZA   Telegram   Ikuti Kami

 

PROGRAM 'CEMERLANGKAH AKU DENGAN PLAGIAT DAN MENIRU?’

 

PROGRAM 'CEMERLANGKAH AKU DENGAN PLAGIAT DAN MENIRU?’

 

Program 'Cemerlangkah Aku Dengan Plagiat Dan Meniru? telah dianjurkan oleh Unit Kaunseling, Pejabat Timbalan Naib Canselor, UniSZA Kampus Gong Badak dengan kerjasama semua fakulti yang diadakan pada 5 Ogos 2023, Sabtu, bertempat di Dewan Kuliah Utama (DKU). Program ini melibatkan pelajar seramai 417 orang mahasiswa. Objektif program ini adalah memberikan kesedaran bagi mencegah amalan plagiat dan meniru dalam dunia akademik. Ianya selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan yang berintegriti, berkualiti, bermotivasi serta berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan agar mutu kualiti akademik universiti diiktiraf. Terdapat tiga slot pengisian program yang telah dilaksanakan iaitu Slot pertama “Konsep Jujur dan Berkat Dalam Menuntut Ilmu” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Tirmizi Bin Taha yang merupakan Pensyarah Universiti daripada Fakulti Kontemporari Islam. Beliau mengupas berkaitan adab-adab dan konsep integriti dalam menuntu ilmu. Perkongsian ini dapat memberikan peringatan kepada mahasiswa bahawa ilmu itu perlu dituntut dengan jujur supaya dapat keberkatan dan lahir akhlak mulia. Slot kedua disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti bin Razali, pensyarah Perubatan yang membuat perkongsian pengalaman beliau dalam slot “Menuntut Ilmu Tiada Jalan Pintas”. Slot ini menyuntik motivasi dan panduan dalam kehidupan mahasiswa agar sentiasa menuntut ilmu penuh pengorbanan dan penuh iltizam. Seterusnya slot ketiga pula disampaikan oleh Dr Mohd Badrol bin Awang yang merupakan Pensyarah Fakulti Undang-Undang, UniSZA. Beliau telah mengupas berkaitan topik “Plagiat dan Meniru Kesannya Dari Segi Perundangan. Slot ini dapat memberikan pencerahan kepada mahasiswa agar tidak melakukan amalan plagiat dan meniru dan dapat mengetahui info-info kesan perundangan akibat salah laku tersebut. Secara keseluruhannya, sambutan yang diterima daripada peserta amat menggalakkan dan reaksi yang diberikan adalah positif. Justeru, Unit Kauseling PTNC, HEPA berharap dapat menganjurkan lagi program seumpama ini pada masa akan datang.