• ARTIKEL
  • Bantuan Sukarelawan UNISZA ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) MAEPS 2.0, Serdang, Selangor.

Bantuan Sukarelawan UNISZA ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) MAEPS 2.0, Serdang, Selangor.

Susulan peningkatan kes positif Covid-19, PKRC MAEPS 2.0, Serdang telah pun mula beroperasi pada 9 Disember 2020 di mana ia telah dibuka secara berfasa dan fasa pertama dimulakan dengan kapasiti 650 katil. Seterusnya bilangan katil telah ditambah mengikut keperluan semasa.

Sebanyak 1,925 kes baru telah dikenalpasti pada 26 Januari 2021 dan ianya telah menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas. Menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu telah menghantar seramai 6 orang wakil Jururawat dari Pusat Pembangunan Hospital Universiti (PPHU) sebagai pasukan sukarelawan untuk bersama-sama berganding bahu di lapangan PKRC MAEPS 2.0, Serdang bermula 3 Februari 2021 sehingga 3 Mac 2021.

Satu sesi taklimat bersama Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Hasan Basri bin Awang Mat Dahan, telah diadakan pada 31 Januari 2021 yang melibatkan Pengarah PPHU, Dr. Nik Ahmad Shaiffudin bin Nik Him dan pasukan sukarelawan.

Sesi bergambar bersama Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Hasan Basri bin Awang Mat Dahan dan Pengarah PPHU, Dr. Nik Ahmad Shaiffudin bin Nik Him

 

            Barisan pasukan sukarelawan dianggotai oleh Puan Zalkartini binti Mohd Nor (Jururawat U41), Cik Ruzanna binti Mohd Hantta Aldarulislam (Jururawat U29), Encik Akmal Hakim bin Marzuki (Jururawat U29), Encik Muhammad Farhan bin Aman (Jururawat U29), Puan Fazlin Illiana binti Mohamad Nor (Jururawat U29) dan Puan Nor Azuin binti Zik (Jururawat U29).       

            Pasukan sukarelawan melaporkan diri pada hari Rabu, 3 Februari 2021 disambut oleh Pengarah PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin bin Ibrahim dan Puan Hamdzani binti Abd Halim, Penyelia Jururawat U42. Sesi orientasi telah diberikan kepada semua pasukan sukarelawan oleh pelbagai pihak yang terlibat seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Kawalan Infeksi dan Unit Kaunseling.

Sesi orientasi yang telah berlangsung di Dewan D di mana terletaknya Pejabat Pengurusan PKRC, MAEPS 2.0

Tatacara Donning dan Doffing bersama staf Unit Kawalan Infeksi

            Kemudahan tempat tinggal dan makan minum untuk kesemua pasukan sukarelawan disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Pasukan sukarelawan UniSZA ditempatkan di Hotel Palm Garden, Serdang. Kemudahan pengangkutan turut disediakan sepanjang tempoh bertugas.

Tempat penginapan pasukan sukarelawan UniSZA

Sebelum memulakan tugas di PKRC MAEPS 2.0 semua pasukan sukarelawan wajib menjalani ujian saringan Covid-19 (Swab RTK) yang dikendalikan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).

Ujian Swab RTK yang dijalankan pada sukarelawan

Di PKRC MAEPS 2.0, terdapat 6 dewan yang menempatkan pesakit-pesakit Covid-19. Setiap dewan menempatkan pesakit mengikut kategori dan kewarganegaraan yang telah ditetapkan.

Gambar keseluruhan dewan yang di tempatkan di PKRC MAEPS 2.0

 Pesakit-pesakit yang dimasukkan ke PKRC MAEPS 2.0 terdiri daripada 3 kategori iaitu:

1) Pesakit yang tidak bergejala

2) Pesakit yang ada gejala ringan atau mempunyai masalah kesihatan

3) Pesakit yang mempunyai gejala seperti radang paru-paru tetapi tidak memerlukan penggunaan oksigen.

 

            Pengendalian pesakit di MAEPS adalah berbeza dengan kebiasaan di hospital. Kemasukan pesakit di sini adalah bertujuan untuk menjalani proses kuarantin. Tugas utama pasukan sukarelawan adalah menguruskan proses kemasukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan tahap keterukan pesakit.

            Pesakit diletakkan di katil atau wad yang bersesuaian setelah pemeriksaan nama, nombor kad pengenalan atau passport adalah sama dengan dokumen yang ada. Pesakit yang dimasukkan ke sini adalah dibawa dengan menaiki bas atau ambulan KKM.

            Setiap dewan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Zon Merah yang menempatkan para pesakit dan Zon Kuning yang menempatkan para petugas kesihatan yang terlibat. Cara berkomunikasi dengan pesakit adalah dengan menggunakan sistem intercom yang terdapat pada dinding pemisah tersebut.

Dinding yang memisahkan antara Zon Kuning Dan Zon Merah.

Kesemua sukarelawan yang bertugas di PKRC MAEPS 2.0 telah diberikan Latihan Pertolongan Cemas (Code Blue) oleh pasukan MAEPS Acute Resuscitation Isolation Area (MARIA) untuk digunapakai semasa berada di sini.

Sesi latihan intensif Code Blue yang dijalankan

Pasukan sukarelawan UniSZA amat berbangga dan berbesar hati dapat melaksanakan tugas sebagai Anggota Kesihatan Tambahan (Pelbagai Kategori) bagi menangani pandemik Covid-19 di PKRC MAEPS 2.0. Melalui peluang keemasan ini, pasukan sukarelawan merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak sepanjang berkhidmat di PKRC MAEPS 2.0, Serdang.

Pasukan sukarelawan bergambar bersama Penyelia Jururawat U42.

 

Artikel ini ditulis oleh:

1. Zalkartini binti Mohd Nor
2. Muhammad Farhan bin Aman
3. Fazlin Illiana binti Mohamad Nor
4. Ruzanna bt Mohd Hantta Aldarulislam
5. Nor Azuin binti Zik
6. Akmal Hakim bin Marzuki