• ARTIKEL
  • Perdana Menteri Rasmi Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar UniSZA

Perdana Menteri Rasmi Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar UniSZA

 

Kuala Terengganu: Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis pecah tanah bagi projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Perdana Menteri tiba di UniSZA kampus Gong Badak kira –kira jam 2.30 petang dengan diiringi Menteri Besar, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman , Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh, Speaker Dun, Dato' Mohd Zubir Embong dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Dr Yahaya Ibrahim.

Dato' Najib berkata, majlis itu amat bermakna dan menandakan permulaan pembinaan Hospital Pengajar UniSZA yang bakal menajdi mercu tanda baharu kepada Terengganu dan UniSZA khususnya. Katanya lagi, pembinaan hospital itu memberi makna kepadanya selaku perdana menteri bagi merealisasikan hasrat dan titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin. “Bagi pihak kerajaan, dengan segala hormat dan penuh takzim mengucapkan setinggi penghargaan di atas keprihatinana Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap kesegeraan perlaksanaan projek”, katanya. Menurutnya lagi, sebanyak 200 katil akan ditambah bagi fasa kedua projek pembinaan Hospital Pengajar UniSZA menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 400 katil. “Kerajaan sedar bahawa peningkatan keperluan perkhidmatan perubatan kepakaran dan keperluan pelajar program perubatan menjalani latihan praktikal memerlukan penubuhan hospital pengajar universiti. “Malah, saya yakin penubuhan Hospital Pengajar UniSZA bukan sekadar menawarkan khidmat perubatan malah merangsang ekonomi setempat untuk memberikan kesejahteraan sosial kepada rakyat keseluruhannya,” katanya pada ucapan perasmian majlis berkenaan.

Pada majlis itu, kira-kira 15,000 tetamu hadir dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, para pelajar serta penduduk setempat.