Cetak

Perkongsian Maklumat Mampu Beri Manfaat Besar Kepada Masyarakat

Kos yang tinggi dalam memperolehi kepelbagaian sumber khususnya sumber dalam talian yang sangat penting pada masa kini memungkinkan banyak institusi maklumat menghadapi kekangan untuk mendapatkan atau melanggan sumber-sumber tersebut.

Namun, keperluan kepada bahan-bahan rujukan tersebut sangat tinggi memandangkan perubahan gaya hidup kini yang banyak mengaplikasikan gajet dan internet dalam kehidupan.

Amalan perkongsian ilmu yang dipraktiskan antara institusi maklumat merupakan satu platform utama yang mampu menjadi satu solusi selain memberikan manfaat kepada semua golongan.

Hakikat ini dipersetujui oleh Ketua Pustakawan UNIMAP, Puan Mazmin Mat Akhir yang turut menyarankan agar perkongsian ini tidak hanya tertakluk kepada bahan-bahan rujukan atau sumber eletronik semata-mata, namun perlu merangkumi perkongsian kepakaran, teknologi, pelantar, perkhidmatan, fasiliti melalui rangkaian perpustakaan ataupun melalui kolaborasi di antara perpustakaan.

 

Perkongsian maklumat sebenarnya bukan sesuatu yang baharu khususnya dalam persekitaran akademik, namun perlu terus dipraktiskan bagi memastikan kelangsungan dan kemurnian ilmu dan pengetahuan itu terus diperkasa.

Semua institusi maklumat perlu memainkan peranan aktif dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab menyebarluaskan ilmu dan maklumat kepada masyarakat kerana usaha ini merupakan suatu aspek penting untuk memenuhi keperluan pengguna masa kini. Dalam pada itu, perpustakaan juga harus berfungsi sebagai Community Knowledge Hub untuk menghubungkan semua institusi maklumat serta pengguna.

Ini turut diakui oleh mantan Ketua Pustakawan, Universiti Malaya (UM), Dr. Nor Edzan Mohd Nasir yang menyarankan semua perpustakaan perlu melaksanakan usaha ini kerana kita sememangnya sangat bergantung antara satu sama lain untuk mendapatkan bahan dan sumber.

“Pelbagai medium boleh diadaptasi untuk meluaskan kaedah perkongsian maklumat atau ilmu yang sesuai dengan peredaran semasa. Misalnya, repositori institusi terbuka dan media sosial. Ternyata, ketika pandemik Covid-19 berlaku telah membuktikan bahawa peranan perpustakaan adalah amat besar. Oleh itu, kolaborasi antara institusi awam dan swasta perlu mantap supaya pengguna mendapat manfaat. Kita perlu realistik kerana kita tidak boleh hidup sendiri dan amat memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya.

Pandangan beliau turut disokong oleh Ketua Transformasi Organisasi dan Minda, Bahagian Transformasi Universiti, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr. Alwi Mohd Yunus yang turut menyarankan agar semua warga institusi maklumat bersikap berlapang dada serta bersedia dengan transformasi keperluan pengguna kini dan kepelbagaian pelbagai pihak dalam memartabatkan perkongsian maklumat.

“Dalam situasi sekarang, mindset kita sebagai penyedia kandungan perlu berubah di mana kita tidak lagi boleh berada dalam keadaan silo dan perlu mempunyai kolaborasi yang utuh dan mapan antara semua institusi maklumat. Keperluan manusia yang sentiasa berubah dan pelbagai akan dapat ditangani dengan lebih baik dengan adanya kerjasama serta hubungan yang padu antara semua institusi,” katanya.

Pandangan-pandangan ini telah dilontarkan dalam program ‘Perkongsian Ilmu: Perkongsian Sumber Dalam Kalangan Perpustakaan’ pada 22 Ogos 2022. Program yang berlangsung secara dalam talian melalui Facebook ini telah mencatatkan penglibatan seramai lebih 600 orang penonton di seluruh Malaysia. Ini termasuklah warga pendidik dan pelajar sekolah yang turut sama menyertai sesi ini.

Selain itu, kedua-dua panel jemputan ini turut menyeru kepada institusi maklumat untuk melibatkan warga penyelidik bagi menyumbang kepada perkongsian maklumat supaya semua golongan mendapat manfaat. Ini kerana hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik ini sangat penting dan boleh menjadi sumber rujukan utama untuk dikongsikan kepada masyarakat.

Program selama lebih dua jam ini turut menampilkan Pustakawan Kanan UniSZA, Puan Sofiah Khalid sebagai moderator. Program ini dijalankan oleh PWB dalam usaha mempromosikan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah kepada institusi luar dan menyemarakkan kepelbagaian aktiviti perpustakaan yang memberi manfaat kepada seluruh warga perpustakaan di Malaysia.

   

                        

 

 

                                

22 OGOS 2023

 PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
Open source productions