Tuesday, 29 November 2022

Amalin sedih dalam gembira

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kuala Nerus :  Berkorban dengan berjauhan dengan keluarga demi mengubah nasib keluarga bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia menjadi 'saham akhirat' demi orang tersayang.

Nur Amalin Syaffah Saman, 20, berkata dia begitu sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga demi meneruskan cita-cita menjadi Akauntan untuk mengubah nasib keluarga.

Anak sulung dari lima beradik itu terpaksa berpisah sementara dengan keluarga yang tinggal di Rantau Panjang, Kelantan untuk meneruskan pengajian semester tiga Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Kewangan Islam, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak.

“Sebelum ini, dua semester saya belajar secara dalam talian di rumah dan pada masa sama dapat menguruskan keluarga di mana dua adik saya adalah OKU dan dua lagi mempunyai masalah pembelajaran”

“Tapi sekarang, Alhamdulillah dah boleh belajar secara bersemuka dan saya perlu masuk ke asrama. Lagipun lega juga sebab tidak lagi perlu susah payah keluar rumah cari internet kerana segala kemudahan sudah tersedia di kampus”, katanya ketika ditemui mendaftar di Kolej Kediaman.

Amalin berkata, meskipun sedih terpaksa berjauhan dengan keluarga, dia tetap gembira kerana ini pertama kali dapat menjejakkan kaki ke UniSZA.

“Saya syukur sangat apabila menerima tawaran untuk belajar di UniSZA dan rezeki saya mendapat tajaan biasiswa tabung wakaf dari pihak UniSZA”

“Dan terima kasih juga kepada pihak Yayasan Raja Shamri yang menghantar saya ke sini, hari ini kerana ibu bapa saya mempunyai masalah pengangkutan” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan tentang kesusahan Nur Amalin Syaffah mencari wang dengan menoreh getah demi mengejar cita-citanya melangkah ke menara gading hingga tular menerusi media sosial.

Kisah kesusahan dia yang terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer meredah kebun getah dan kelapa sawit bagi mencari wang persediaan ke universiti, mendapat perhatian UniSZA dengan menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.

Biasiswa itu bagi menanggung yuran pengajian, asrama dan sara hidup sebanyak RM600 sebulan, yang diuruskan menerusi tabung wakaf universiti sehingga gadis itu menamatkan pengajian selama tiga tahun.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2022 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara