Tuesday, 29 November 2022

UniSZA, SPRM Meterai MoU, UA pertama menubuhkan Kor SUAR

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kuala Nerus : Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia menawarkan Kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR) kepada pelajar UniSZA.
Penubuhan Kor SUAR itu merupakan salah satu bidang kerjasama di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh UniSZA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Ketua SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki, berkata cadangan untuk menawarkan Kursus Berkredit Kadet SPRM di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan idea berani yang dikemukakan oleh pihak UniSZA kepada SPRM.


“Penawaran kursus ini telah melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat IPT dan salah satunya ialah kewujudan kelab bersifat kesukarelawan pelajar iaitu Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang menggerakan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus untuk menyebarluaskan mesej antirasuah di negara ini.”


“Kini, diwujudkan pula Kelab Beruniform yang menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan mahasiswa dan UniSZA menjadi Universiti perintis pertama di negara ini yang telah menawarkan kursus ini kepada pelajar”, katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Kehormat dan Surat Pelantikan serta MoU antara UniSZA dan SPRM, di Dewan Perdana, hari ini.
MoU telah ditandatangani oleh Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fadzli Adam dan Pendaftar, Ismail Musa bagi mewakili UniSZA manakala SPRM diwakili oleh Ketua SPRM, Tan Sri Dato’ Haji Azam Baki dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Razim Mohd Noor.


Tambahnya lagi, mahasiswa yang telah mendaftar untuk mengikuti kursus itu diharap agar berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan sehingga hari pentauliahan kelak.
“Mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi sehingga ke semester empat akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah dan ini juga adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti” katanya pada majlis berkenaan.


Pada majlis itu juga, telah berlangsungnya penganugerahan Pemakaian Pangkat Kehormat dan penyerahan Watikah Pelantikan yang merupakan julung-julung kali diberikan kepada ahli akademik di peringkat universiti.


Selain itu, turut diadakan pemakaian epaulette kepada kadet Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah SPRM ambilan pertama UniSZA.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2022 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara