Sunday, 04 December 2022

Kerjasama antara FBIM dengan beberapa Institusi daripada Mexico

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) telah mengadakan siri perbincangan bersama beberapa institusi penyelidikan dan pengajian tinggi yang berpusat di Mexico pada bulan September dan Oktober 2021. Antara institusi yang terlibat ialah The International Maize and Wheat Improvement Center (CIMMYT), Colegio de Postgraduados en Ciencias Agricolas (COLPOS) dan Universidad de Guadalajara. Perbincangan ini turut dihadiri oleh wakil Pusat Antarabangsa UniSZA dan Pengarah Green World Genetics (GWG). Kesemua institusi ini merupakan antara industri utama yang terlibat dalam pembangunan biji benih dan penyelidikan berkaitan jagung di dunia.

Kerjasama ini adalah melibatkan penyelidikan dan pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan dan skil dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan terutamanya jagung dan beberapa jenis tanaman lain. Mulai Oktober 2021, FBIM telah mula menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Pembiakbakaan Tumbuhan secara mod industri. Kerjasama FBIM dengan kesemua institusi ini diharap dapat membantu untuk meningkatkan kefahaman dan berkongsi pengalaman mengenai program pembiakbakaan tumbuhan terutamanya berkaitan industri jagung.

Perbincangan awal mengenai kerjasama ini telah dihadiri oleh wakil-wakil organisasi terlibat termasuk Ahli Jawatankuasa Jaringan FBIM sebagai urusetia program. Dalam sesi perbincangan ini, kesemua pihak bersetuju untuk mengadakan beberapa aktiviti yang boleh diadakan dalam tempoh terdekat. Antara aktiviti yang dirancang oleh kedua-dua pihak adalah sesi perkongsian pengetahuan melalui webinar antara pakar bidang daripada kedua-dua negara, perkongsian budaya Malaysia dan Mexico, latihan kepada staf dan pelajar berkaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, penanaman benih jagung yang akan dibekalkan oleh pihak CIMMYT di ladang UniSZA serta pembangunan bank biji benih jagung di Malaysia dengan kerjasama industri iaitu Green World Genetics (GWG).

Diharapkan, kerjasama ini akan berterusan dan dapat membantu pihak FBIM untuk meningkatkan pengetahuan dan teknik dalam bidang pembiakbakaan tumbuhan di kalangan staf akademik dan pelajar disamping menjadi salah satu hub rujukan dalam bidang pertanian di pantai timur.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2022 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara