Pasukan Badminton UniSZA Tutup Tirai Kutipan Pingat dengan 1 Emas, 1 Perak dan 1 Gangsa
Kuala Nerus, 15 Ogos 2026 – Kontinjen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus menambah koleksi pingat terakhir pada Kejohanan Sukan Staf Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Ke-46 apabila meraih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa menerusi acara badminton.

Pingat emas disumbangkan oleh Muhammad Shahzrin bin Mat Desa yang muncul juara dalam kategori perseorangan lelaki, sekali gus membuktikan keunggulan pemain UniSZA dalam saingan badminton kejohanan berkenaan.
Muhammad Shahzrin turut menambah satu lagi koleksi pingat apabila bergandingan bersama Helmi bin Mohd Abdul Nasir untuk meraih pingat perak dalam acara beregu lelaki.

Sementara itu, Nor Fazila binti Kamarudin dan Nur Fara Madihah binti Mohd Saidi melengkapkan kejayaan pasukan badminton UniSZA dengan meraih pingat gangsa dalam acara beregu wanita.
Pengurus Pasukan Badminton UniSZA, Dr. Ahmad Taufik Hidayah bin Abdullah, menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan prestasi yang ditampilkan semua pemain sepanjang kejohanan.
“Alhamdulillah, saya sangat bangga dengan semua anggota pasukan. Syukur kerana kita dapat menyumbangkan pingat kepada UniSZA melalui acara badminton.
“Kejayaan ini hasil usaha dan komitmen semua pemain. Kami akan terus memberikan yang terbaik dan berusaha memperbaiki prestasi pada masa akan datang,” katanya.
Pencapaian tiga pingat tersebut menyaksikan badminton menjadi antara penyumbang penting kepada kutipan pingat UniSZA dalam saingan SUKUM Ke-46 yang berlangsung di UniSZA dari 8 hingga 15 Ogos 2026.

