Bola Tampar Pantai Lelaki UniSZA Kukuh di Podium, Sambar Gangsa SUKUM Ke-46
Kuala Nerus, 14 Ogos 2026 – Pasukan bola tampar pantai lelaki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menutup saingan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 dengan pingat gangsa, selepas beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir.

Dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung hari ini, UniSZA berdepan pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), namun terpaksa akur dengan kekalahan 0-2.
UniSZA tewas 9-21 pada set pertama sebelum UMT sekali lagi mengatasi cabaran pasukan UniSZA dengan keputusan 16-21 pada set kedua.
Keputusan itu menyaksikan UniSZA menamatkan saingan bola tampar pantai lelaki dengan pingat gangsa, sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen UniSZA dalam kejohanan SUKUM Ke-46.
Pasukan UniSZA yang dibarisi Wan Muhammad Hanif Wan Haron, Mat Yusof Mat Rani dan Muhammad Izzuddin Kamal Azahar menampilkan semangat juang tinggi sepanjang saingan untuk memastikan pasukan terus berada dalam kelompok terbaik pertandingan.

Menurut Wan Muhammad Hanif, beliau berpuas hati dapat menyumbangkan pingat kepada kontinjen UniSZA, selain merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang terus berjuang sehingga ke peringkat separuh akhir.
“Saya berasa puas hati kerana dapat menyumbangkan pingat untuk UniSZA. Terima kasih kepada seluruh pasukan yang telah berjuang bersama-sama sehingga ke separuh akhir,” katanya.
Kejayaan itu membuktikan komitmen pasukan bola tampar pantai lelaki UniSZA dalam memberikan saingan terbaik sekali gus membantu menambah koleksi pingat kontinjen tuan rumah pada SUKUM Ke-46.

