Friday, 04 September 2026

Baheyah Buktikan Semangat Juang, Raih Gangsa Dart Wanita Perseorangan SUKUM Ke-46

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Kuala Nerus, 14 Ogos 2026 – Penolong Pegawai Tadbir, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Baheyah binti Sanat, mencuri tumpuan apabila meraih pingat gangsa dalam acara Dart Wanita Perseorangan pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46.
 
 
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir pada penyertaan sulung Baheyah dalam temasya SUKUM, selepas pada awalnya beliau hanya meletakkan sasaran untuk mendapatkan pengalaman beraksi di pentas kejohanan antara universiti.
 
Menurut Baheyah, perjalanan untuk meraih tempat ketiga bukan mudah apabila beliau perlu berdepan dengan pemain dari Universiti Malaya (UM) yang sebelum itu tidak pernah tewas dalam kumpulannya.
 
“Syukur Alhamdulillah kepada Allah. Niat utama saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mencari pengalaman memandangkan ini kali pertama saya menyertai SUKUM.
 
“Namun, Alhamdulillah Allah memberikan rezeki untuk saya mendapat tempat ketiga. Walaupun laluannya agak sukar, saya perlu menewaskan pemain UM yang tidak pernah kalah dalam kumpulannya. Alhamdulillah, saya berjaya menang tipis,” katanya.
 
 
Baheyah turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat Sukan UniSZA atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk mewakili universiti dalam kejohanan berkenaan.
 
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pusat Sukan kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya khususnya dan kepada UniSZA amnya untuk menyertai SUKUM,” katanya.
 
Beliau berharap kejayaan tersebut dapat menjadi pencetus kepada perkembangan sukan dart di peringkat universiti, selain menyarankan agar acara dart terus dipertandingkan dalam edisi SUKUM akan datang.
 
“Semoga acara dart dapat dijadikan sebagai acara tetap SUKUM pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya.
 
Kejayaan Baheyah sekali gus menambah koleksi pingat UniSZA dalam temasya SUKUM Ke-46 yang berlangsung dari 8 hingga 15 Ogos 2026, selain membuktikan keupayaan warga kerja universiti untuk bersaing dalam pelbagai cabang sukan di pentas antara universiti awam.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara