Hari Kedua Olahraga SUKUM Ke-46: Firdaus, Hanisah, Shahrizal Sumbang Tiga Emas Buat UniSZA
Kuala Nerus, 13 Ogos 2026 – Kontinjen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkemas koleksi pingat pada hari kedua acara olahraga Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 apabila meraih tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa.


Tiga emas tersebut disumbangkan menerusi acara Lompat Kijang Lelaki Senior, 3000m Wanita Senior dan 400m Lelaki Senior, sekali gus menyaksikan UniSZA terus menyerlah dalam saingan olahraga.
Dalam sesi pagi, Muhammad Shahrizal Nasharuddin terlebih dahulu membuka tirai kejayaan apabila meraih pingat emas dalam acara Lompat Kijang Lelaki Senior, manakala rakan sepasukan, Muhammad Hafiz, menyumbangkan pingat perak dalam acara sama.
Turut mencuri tumpuan ialah Hanisah yang menambah koleksi emas UniSZA menerusi kemenangan dalam acara 3000m Wanita Senior, sekali gus meneruskan prestasi cemerlangnya selepas turut menyumbangkan emas dalam acara 800 meter sebelum ini.

Hanisah berkata kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada UniSZA.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat menyumbangkan pingat emas kepada UniSZA. Kejayaan ini hasil daripada latihan, disiplin dan sokongan daripada rakan-rakan serta pasukan.
“Saya harap pencapaian ini dapat menjadi suntikan semangat kepada kontinjen UniSZA untuk terus memburu pingat dalam acara-acara yang masih dipertandingkan,” katanya.
Pada sesi petang pula, Muhammad Firdaus tampil cemerlang apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara 400m Lelaki Senior, sekali gus melengkapkan tiga emas UniSZA bagi hari kedua saingan.
Sementara itu, Che Wan Nur Najwa menyumbangkan pingat perak dalam acara 400m Wanita Senior, manakala Muhd Wafiy meraih pingat gangsa dalam acara Rejam Lembing Lelaki Veteran.

Pencapaian tersebut menyaksikan atlet-atlet olahraga UniSZA terus memainkan peranan penting dalam menyumbang pingat kepada kontinjen universiti pada SUKUM Ke-46 yang berlangsung di UniSZA.
Dengan tambahan tiga emas pada hari kedua, UniSZA kini semakin rancak meneruskan pemburuan pingat dalam saingan SUKUM Ke-46 yang menghimpunkan kontinjen daripada universiti awam seluruh negara.

