4 Emas, 1 Perak dan 3 Gangsa Jadi Milik UniSZA Di Hari Pertama Olahraga SUKUM Ke-46
Kuala Nerus, 12 Ogos 2026 – Kontinjen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka tirai acara olahraga SUKUM Ke-46 dengan cemerlang apabila mengumpul empat pingat emas, dua perak dan tiga gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung di Stadium UniSZA.

Empat emas tersebut disumbangkan menerusi acara 800 meter Wanita Senior oleh Hanisah Abdullah, 800 meter Lelaki Senior oleh Muhammad Firdaus Mohamad Zemi, 100 meter Lelaki Senior oleh Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham serta 4x400 meter Campuran Terbuka menerusi gandingan Hanisah, Firdaus Azemi, Che Wan Nur Najwa Che Wan Roslam dan Muhammad Shahrizal.
Turut menyerlah, UniSZA meraih satu pingat perak menerusi Nurul Iliyana Asikin Mohd Aris dalam acara Lompat Kijang Wanita Senior, manakala tiga pingat gangsa disumbangkan oleh Anis Amirah Mat Yaman dalam acara sama, Nur Liyana Atyrah Abdillah dalam Lempar Cakera Wanita Senior dan Mohd Nazri M. Ghani menerusi Lompat Jauh Lelaki Veteran.
Atlet olahraga UniSZA, Firdaus Azemi, menyifatkan kejayaan meraih emas pada hari pertama sebagai satu pencapaian yang membanggakan, selain menjadi pembakar semangat untuk menghadapi acara seterusnya.
“Saya sangat bangga dapat menyumbangkan pingat emas kepada UniSZA. Ini merupakan hasil usaha dan latihan yang dilakukan bersama pasukan.
“Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan mendapatkan lagi pingat untuk UniSZA dalam acara-acara yang akan berlangsung selepas ini,” katanya.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Firdaus melengkapkan hari pertamanya dengan dua emas selepas turut membantu pasukan UniSZA menjuarai acara 4x400 meter Campuran Terbuka bersama Hanisah, Che Wan Nur Najwa dan Muhammad Shahrizal.
Prestasi memberangsangkan itu menjadi suntikan semangat buat kontinjen olahraga UniSZA untuk meneruskan cabaran pada hari-hari berikutnya, sekali gus menambah koleksi pingat universiti dalam temasya SUKUM Ke-46.
Acara olahraga SUKUM Ke-46 yang berlangsung di Stadium UniSZA itu menghimpunkan atlet daripada universiti awam seluruh negara bagi merebut kejuaraan dalam pelbagai disiplin olahraga.

