Saturday, 05 September 2026

Ahmad Syarafuddin Tamatkan Penantian 16 Tahun, Hadiahkan Perak XCO Heavyweight Buat UniSZA

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Kuala Nerus, 12 Ogos 2026 – Penantian selama 16 tahun pasukan berbasikal MTB Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menghadiahkan pingat akhirnya terlerai apabila Ahmad Syarafuddin Che Azih meraih pingat perak dalam acara XCO Heavyweight pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46.
 
 
Kejayaan itu diraih dalam saingan yang berlangsung di MTB XCO Track, Kuala Nerus, yang menyaksikan para pelumba berdepan laluan mencabar dan memerlukan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.
 
Ahmad Syarafuddin yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di PPIR berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya dan pasukan MTB UniSZA selepas sekian lama menanti untuk kembali mencatat kejayaan di pentas SUKUM.
 
“Alhamdulillah di atas kemenangan ini. Saya berasa amat terharu dengan kejayaan ini kerana sudah 16 tahun kami daripada pasukan MTB tidak mendapat pingat.
 
“Terima kasih buat keluarga terutamanya dan kawan-kawan yang sentiasa memberikan sokongan serta tunjuk ajar sehingga saya mampu berada di tahap ini,” katanya.
 
Menurutnya, cabaran di trek berkenaan bukan mudah apabila laluan yang disediakan cukup mencabar bagi kesemua pelumba yang mengambil bahagian.
 
Beliau turut berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada seluruh kontinjen UniSZA untuk terus memberikan aksi terbaik dalam setiap acara yang disertai.
 
“Saya berharap kepada semua atlet SUKUM supaya berjuang berhabis-habisan hingga ke minit akhir demi UniSZA,” katanya.
 
 
Pingat perak yang diraih Ahmad Syarafuddin sekali gus menjadi suntikan semangat buat pasukan MTB UniSZA untuk terus memburu kejayaan pada edisi-edisi SUKUM akan datang, selain membuktikan semangat juang warga UniSZA tidak pernah luntur walaupun terpaksa menanti lebih sedekad untuk kembali berdiri di podium.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara