Friday, 04 September 2026

Golf VIP UniSZA Menyerlah di SUKUM 46, Raih Emas Individu dan Perak Berpasukan

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Kuala Nerus, 11 Ogos 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta kejayaan berganda dalam acara Golf VIP Sukan Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) Ke-46 apabila meraih pingat emas bagi kategori individu dan perak bagi kategori berpasukan.
 
 
Kejayaan itu dilakar Pendaftar UniSZA, YBrs. Encik Muzafar Mohd Din, yang tampil cemerlang menjuarai kategori Individu VIP, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen UniSZA.
 
Encik Muzafar mengetepikan Prof. Dato’ Dr. Razman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meraih perak, manakala Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membawa pulang gangsa.
 
Dalam saingan berpasukan pula, UniSZA meraih pingat perak, manakala UKM muncul juara dengan pingat emas dan UPSI melengkapkan podium dengan gangsa.
 
Pasukan VIP UniSZA diketuai Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, bersama Encik Muzafar dan Dekan Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi, Prof. Ts. Dr. Saiful Bahri bin Mohamed.
 
Pengurus Pasukan Golf UniSZA, Encik Syahril Hirman Azmee, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu penghormatan dan kebanggaan buat seluruh kontinjen universiti.
 
“Kejayaan ini bukan datang secara bergolek, sebaliknya hasil disiplin, komitmen tinggi dan semangat pantang menyerah yang ditunjukkan para pemain sepanjang kejohanan,” katanya.
 
Menurut beliau, dedikasi para pemain ketika beraksi di padang golf akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan, selain membuktikan kesungguhan pasukan dalam membawa nama UniSZA pada temasya sukan berkenaan.
 
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pihak pengurusan tertinggi universiti serta seluruh warga kontinjen yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada pasukan.
 
“Pingat emas dan perak ini adalah hadiah buat anda semua. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk kita terus mencipta kegemilangan pada masa akan datang,” katanya.
 
Pencapaian tersebut sekali gus menyumbang kepada kutipan pingat UniSZA pada SUKUM Ke-46, selain memperlihatkan kemampuan barisan pengurusan universiti bersaing dalam acara sukan di peringkat institusi pengajian tinggi awam.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara