Simulasi Haji Cilik 2026: Pengalaman Pertama Ibadah Haji untuk Kanak-Kanak
Kuala Nerus – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi menjadi tuan rumah kepada program Simulasi Haji Cilik 2026, yang berlangsung di Masjid UniSZA pada hari Ahad, 12 April 2026, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Program ini menyaksikan penyertaan seramai lebih 800 orang murid dari 35 buah tadika swasta sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, dan Marang. Simulasi ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang ibadah haji yang merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang kelima.
Mengambil langkah yang berbeza daripada pendekatan biasa, program ini dirancang untuk memberi pengalaman interaktif dan praktikal kepada kanak-kanak, dengan aktiviti-aktiviti yang disesuaikan bagi memudahkan mereka memahami perjalanan haji.
Setiap murid telah dilatih di tadika masing-masing untuk mempelajari rukun-rukun haji, dan mereka dibimbing melalui beberapa "checkpoint" yang penting dalam simulasi tersebut, termasuk Wukuf di Arafah, Mabit di Mudzalifah, Melontar Jamrah, Tawaf di Kaabah, Saie antara Safa dan Marwah, Bertahallul, dan Ibadah Korban.

Program ini juga memberikan kesedaran tentang kepentingan menunaikan haji dan mendorong ibubapa untuk mula menyimpan bagi menunaikan ibadah haji pada masa akan datang.
Pengarah Pusat Islam UniSZA, Encik Mohd Sayuti Yahya, berkata, melalui Simulasi Haji Cilik, kami berharap dapat menanamkan rasa kecintaan dan minat terhadap ibadah haji dalam diri kanak-kanak sejak awal usia mereka.
“Ini adalah langkah penting dalam mendidik generasi muda supaya lebih memahami dan menghayati rukun Islam yang kelima ini"
“Dengan program seumpama ini, kami juga berharap agar mereka dapat menginspirasikan ibubapa untuk membuat persediaan lebih awal dalam usaha menunaikan haji di masa hadapan”, katanya ketika ditemui.

Program ini juga turut mendapat sokongan daripada Persatuan Guru Tadika Swasta Negeri Terengganu (PENTAS) dan para guru tadika yang membantu melaksanakan latihan kepada kanak-kanak sebelum mereka menghadiri simulasi.
Pesara Kerajaan, Ustaz Kamaruzzaman Daud yang juga mutawwif pembimbing turut hadir untuk memberikan bimbingan kepada kanak-kanak sepanjang simulasi.
Beliau yang juga merupakan penceramah haji dari PEKTA, amat berbesar hati dapat membantu dalam memberi pendedahan awal mengenai ibadah haji kepada kanak-kanak.
“Program ini bukan sahaja mendidik mereka secara praktikal, tetapi juga mengajar mereka nilai-nilai penting dalam agama, seperti kesabaran, keikhlasan, dan kebersamaan”, katanya.
Simulasi Haji Cilik 2026 ini adalah program percuma yang disediakan oleh Pusat Islam UniSZA, yang turut menyediakan kenderaan untuk mengangkut para peserta dari tadika-tadika yang terlibat.
Dengan berakhirnya simulasi ini, diharapkan setiap kanak-kanak akan meninggalkan program ini dengan pengalaman yang menginspirasi dan semangat untuk menunaikan haji suatu hari nanti.

