UniSZA Perkasa Graduan Melalui Program Agropreneur Melon Manis Terengganu iTEKAD CIMB Islamic
Kuala Nerus, 6 April 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh usaha memperkasa graduan apabila melancarkan Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu (MMT) iTEKAD hasil kerjasama strategik bersama CIMB Islamic Bank, Bank Negara Malaysia dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan.


Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, ketika ditemui berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa ekonomi komuniti, khususnya dalam membuka peluang kepada graduan untuk berdikari serta menjana pendapatan mampan melalui sektor pertanian berimpak tinggi.
Menurut beliau, Projek MMT merupakan contoh terbaik pendekatan bersepadu antara institusi kewangan, universiti dan komuniti yang mampu menghasilkan impak menyeluruh.
“Program ini memberi fokus kepada graduan daripada golongan asnaf dan B40 untuk menceburi bidang keusahawanan agro secara lebih sistematik dan berdaya saing.
“Bagi pelaksanaan terdahulu, Siri 1 dan Siri 2 yang berlangsung dari Oktober 2023 hingga September 2025 melibatkan 20 peserta, manakala Siri 3 yang bermula Januari 2026 hingga Januari 2027 turut melibatkan 20 peserta baharu”
“Keseluruhan program ini menerima dana berjumlah RM750,000, termasuk RM350,000 bagi dua siri awal dan RM400,000 bagi Siri 3”, katanya pada majlis berkenaan.


Turut hadir, Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Encik Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank, Encik Ahmad Shahriman bin Mohd Shariff, Profesor Emeritus Doktor Ahmad Shukri Yazid, Ahli - ahli Lembaga Pemegang Amanah, YDSM, Barisan Pengurusan Tertinggi, UniSZA dan Pegawai – pegawai Kanan CIMB.
Naib Canselor berkata, hasil daripada pelaksanaan program, seramai 20 graduan telah berjaya menamatkan latihan, dengan empat daripadanya kini mengusahakan ladang melon manis secara berdikari.
“Mereka mampu menjana pendapatan bulanan sehingga RM3,000 serta menghasilkan sehingga 1.5 tan hasil tuaian setiap musim”
“Bagi Siri 3, beberapa penambahbaikan telah diperkenalkan termasuk tempoh program selama setahun, peluang penanaman sehingga empat kali setahun, serta penambahan modul latihan melibatkan industri”, katanya.
Katanya lagi, kerjasama bersama agensi dan koperasi turut diperkukuh bagi memastikan hasil tanaman dapat dipasarkan pada harga yang kompetitif.


Mengulas perancangan masa hadapan, UniSZA bercadang memohon dana tambahan sebanyak RM400,000 bagi membina dua lagi rumah hijau serta melatih 20 graduan baharu menjelang Oktober 2026.
Seterusnya pada tahun 2027, program ini dijangka diperluaskan dengan melibatkan 40 graduan dari kampus Gong Badak dan Besut.
Kemudahan rumah hijau yang disediakan mampu menghasilkan sehingga 10,000 buah melon bagi setiap unit, sekali gus memperlihatkan potensi besar projek ini dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Naib Canselor turut menyatakan harapan agar program ini dapat terus berkembang dan menjadi model kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik demi memastikan pembangunan komuniti yang inklusif dan lestari dapat direalisasikan.


