YB MENTERI TERUSKAN PENDEKATAN TURUN PADANG, DEKATI ASPIRASI MAHASISWA UniSZA & UMT
30 Mac 2026 | Kuala Nerus, Terengganu - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kekal komited dalam memacu anjakan paradigma ke arah memperkasa autonomi serta kematangan kepimpinan mahasiswa di universiti awam, selari dengan keperluan mendepani cabaran masa hadapan.

Komitmen ini dizahirkan menerusi kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turun padang menyantuni warga mahasiswa dalam Program Sembang Santai Bersama Mahasiswa yang berlangsung di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Program libat urus anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA ini turut menghimpunkan barisan kepimpinan pelajar daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekali gus memperkukuh sinergi dan jalinan perpaduan silang kampus dalam memperjuangkan suara mahasiswa.
Melalui pendekatan menyelami nadi akar umbi, sesi dialog dua hala yang berlangsung secara terbuka dan tanpa kekangan birokrasi ini memberi ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa UniSZA untuk mengemukakan usul, pandangan serta persoalan secara bersemuka.

Antara isu utama yang dibangkitkan termasuklah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), penambahbaikan kemudahan asrama, pemerkasaan dana kelab dan persatuan, serta jaminan kelangsungan kebajikan mahasiswa khususnya dalam kalangan kumpulan B40.
Menyantuni setiap suara yang dilontarkan, pihak KPT menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan keterbukaan mahasiswa dalam menyampaikan kritikan membina. Pendekatan ini secara tidak langsung mencerminkan kejayaan dasar keterbukaan kementerian dalam membudayakan dialog matang antara pembuat dasar dan generasi intelektual muda.
Segala pandangan bernas yang diketengahkan sepanjang sesi ini akan diangkat ke peringkat jawatankuasa tertinggi Kementerian sebagai panduan penting dalam memperhalusi dasar serta penyaluran peruntukan kepada institusi pengajian tinggi awam.

Turut hadir memeriahkan program ialah Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Muhammad Amirul Irfan Amir Hamzah; serta Yang Dipertua Perwakilan Pelajar UMT, Wan Darwish Hazim Wan Ahmad Rusdi.
Pendekatan turun padang ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pihak kementerian dan mahasiswa, malah mengiktiraf peranan penting mahasiswa sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi negara, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

