Wednesday, 22 April 2026

UniSZA Terima Sumbangan Lebih RM700,000 Pada Majlis Iftar Perdana

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Kuala Nerus, 10 Mac 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima sumbangan berjumlah RM713,975.48 daripada pelbagai agensi, institusi kewangan dan individu menerusi Majlis Iftar Perdana UniSZA yang berlangsung di Masjid UniSZA.
 
 
Sumbangan tersebut disalurkan bagi menyokong kebajikan pelajar, khususnya pelajar asnaf fakir dan miskin, selain membantu memperkasa pembangunan keusahawanan serta kemudahan pembelajaran mahasiswa UniSZA.
 
Antara penyumbang utama ialah Takaful Malaysia Berhad yang menyalurkan dana sebanyak RM375,000.00 menerusi Program Dana Siswa Di Hatiku Takaful Malaysia.
 
Melalui program ini, seramai 750 orang pelajar asnaf akan menerima bantuan sebanyak RM500 setiap seorang bagi membantu meringankan beban kewangan mereka sepanjang pengajian.
 
Selain itu, Tabung Haji turut menyumbang sebanyak RM214,100.48 bagi tujuan agihan 74 buah komputer riba kepada pelajar UniSZA, sekali gus membantu meningkatkan akses kepada kemudahan pembelajaran digital dalam kalangan mahasiswa.
 
Sementara itu Bank Rakyat menyumbang RM67,000.00 bagi menjayakan Program UniPreneur Bank Rakyat 5.0, yang bertujuan memperkasakan bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar.
 
Majlis tersebut turut menyaksikan sumbangan RM30,000.00 daripada YBhg. Datuk Azmi bin Ahmad serta RM7,875.00 daripada Yayasan Pendidikan MAIDAM, kedua-duanya disalurkan sebagai zakat kepada pelajar asnaf fakir miskin.
 
 
Selain itu, Al-Rajhi Bank Malaysia menyumbang sebanyak RM20,000.00 bagi menyokong Projek Inkubator Cendawan, satu inisiatif pembangunan kemahiran dan keusahawanan pelajar.
 
Penyerahan sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak industri, institusi kewangan dan individu dalam membantu memperkasa kebajikan serta pembangunan pelajar UniSZA.
 
Inisiatif seumpama ini diharap dapat terus memberi manfaat kepada mahasiswa khususnya mereka yang memerlukan, sekali gus memastikan tiada pelajar tercicir dalam arus pendidikan tinggi.
 
Majlis Iftar Perdana UniSZA bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan rakan industri, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara