Thursday, 23 April 2026

Lebih 1,000 Warga UniSZA dan Komuniti Hadir Majlis Iftar Perdana UniSZA 2026

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Kuala Nerus, 10 Mac 2026 – Suasana penuh ukhuwah dan keberkatan jelas dirasai apabila lebih 1,000 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pelajar antarabangsa serta komuniti setempat berhimpun dalam Majlis Iftar Perdana UniSZA 2026 yang berlangsung di pekarangan Masjid UniSZA.
 
Program yang dianjurkan sempena bulan Ramadan ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, malah turut mengeratkan hubungan antara pihak universiti, masyarakat serta rakan strategik yang sentiasa menyokong kebajikan pelajar.
 
Seawal 9.00 pagi, staf dan sukarelawan UniSZA telah berkumpul bagi menjayakan gotong-royong memasak serta persiapan juadah berbuka puasa, termasuk penyediaan bubur lambuk yang kemudian diagihkan kepada warga universiti dan komuniti sekitar pada sebelah petang.
 
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pelajar antarabangsa UniSZA yang menyertai sesi ramah mesra bersama warga kampus sebelum majlis berbuka puasa bermula.
 
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pro Canselor UniSZA, YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj Md Nor, Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam serta barisan Ahli Pengurusan Universiti, Ketua Pusat Tanggungjawab, dekan fakulti, staf serta komuniti setempat.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, diikuti taklimat kesihatan oleh Pengarah Hospital Pengajar UniSZA (HoSZA) yang berkongsi panduan penjagaan kesihatan sepanjang bulan Ramadan.
 
Dalam ucapan aluannya, Naib Canselor UniSZA menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta menyokong penganjuran majlis tersebut.
 
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial terhadap komuniti sekitar.
 
Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan sumbangan Ramadan kepada komuniti B40, sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan agar dapat menjalani bulan Ramadan dengan lebih bermakna.
 
Pengisian program diteruskan dengan tazkirah ringkas, diikuti tahlil serta doa berbuka puasa sebelum para hadirin bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa pada jam 7.21 malam.
 
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah di Masjid UniSZA, sekali gus menutup tirai program yang sarat dengan nilai kebersamaan, keprihatinan dan keberkatan Ramadan.
 
Penganjuran Majlis Iftar Perdana UniSZA ini diharap dapat terus menjadi tradisi tahunan universiti dalam memperkukuh hubungan antara warga kampus dan masyarakat, selain menyemarakkan semangat berkongsi rezeki dalam bulan yang mulia ini.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara