UniSZA–Takaful Malaysia Berkongsi Rezeki Ramadan Agih 1,000 Bubur Lambuk, Perkukuh Sinergi Universiti–Industri
Kuala Nerus, 10 Mac 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) terus memperkukuh peranan sosial universiti apabila bekerjasama dengan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB) dalam menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “FPP UniSZA dan Takaful Malaysia Berkongsi Rezeki Ramadan Bersama”.

Program tersebut menyaksikan pengagihan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk kepada pelajar, staf universiti, pekerja sokongan serta komuniti setempat di sekitar Kuala Nerus sempena bulan Ramadan yang mulia.
Turut terlibat secara aktif dalam agihan bubur lambuk ialah staf akademik dan staf pentadbiran FPP yang menyumbang tenaga dan semangat ta’awun untuk memastikan program berjalan lancar dan memberi impak maksimum kepada penerima.
Majlis simbolik pengagihan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam yang turut disertai pengurusan tertinggi UniSZA iaitu Prof. Madya Dato' Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff @ Che Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni); En. Muzafar Mohd Din, Pendaftar dan Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani Ahmad Saany, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat & Pengurusan Perhubungan.

Delegasi Takaful Malaysia yang hadir pula termasuk En. Yassir Azlin Abdul Ghafar, Ketua Pegawai Pengedaran; En. Khairudin Affendi Mohamad, Timbalan Pengurus Besar Sumber Manusia; En. Mohd Saiful Reza Mohd Hairi, Eksekutif Sumber Manusia; Puan Kartini Haji Wahab, Head of TMCC Kuala Terengganu; serta Encik Wan Rozali Wan A Rahman dan Mohd Fauzi Long, masing-masing TMCC Sales & Service Officer di TMCC Kuala Terengganu.
Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UniSZA, Prof. Madya Dr. Mazuri binti Abd Ghani, berkata program tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menggerakkan inisiatif CSR yang memberi impak langsung kepada komuniti.
“Program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan sempena Ramadan, tetapi merupakan platform strategik untuk memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri, khususnya dalam konteks kewangan Islam serta pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengagihan bubur lambuk tersebut membawa simbolik nilai Ta’awun, iaitu semangat saling membantu yang menjadi asas kepada sistem takaful dan nilai kemasyarakatan dalam Islam.

Inisiatif ini turut selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 2: Zero Hunger yang memberi tumpuan kepada akses makanan kepada komuniti serta SDG 17: Partnerships for the Goals yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi.
Melalui kolaborasi ini, UniSZA dan Takaful Malaysia berharap program CSR seumpama ini dapat dijadikan sebagai inisiatif tahunan dalam memperkukuh hubungan universiti–industri serta memberi manfaat berterusan kepada masyarakat sekitar kampus.

