Naib Canselor UniSZA Hadiri Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin
Kuala Nerus, 10 Mac 2026 – Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam telah menghadiri Majlis Hibah Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dalam satu majlis penuh bersejarah.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk kepimpinan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta masyarakat setempat dalam usaha memartabatkan al-Quran sebagai sumber panduan kehidupan.
Penganjuran majlis hibah ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh penghayatan al-Quran serta menyemarakkan budaya ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat. Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara dan menyebarluaskan warisan keilmuan Islam.

Kehadiran Naib Canselor UniSZA pada majlis berkenaan turut menzahirkan sokongan universiti terhadap usaha memperkukuh nilai-nilai Islam serta memartabatkan al-Quran sebagai panduan utama dalam pembinaan masyarakat yang berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia.


