Thursday, 23 April 2026

UniSZA Himpunkan Johan Terbaik Serantau dalam MTHQ IPT ASEAN 2025/2026

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Gong Badak, 15 Februari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan al-Quran di peringkat serantau menerusi penganjuran Majlis Tilawah & Hafazan al-Quran Institusi Pendidikan Tinggi ASEAN (MTHQ IPT ASEAN) 2025/2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), Gong Badak.
 
Program berprestij ini berjaya menghimpunkan seramai 58 finalis terbaik daripada keseluruhan 211 peserta yang mewakili institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
 
 
Pertandingan ini dinilai berdasarkan ketepatan tajwid, kelancaran bacaan, penguasaan tarannum serta kekuatan hafazan, sekali gus menonjolkan standard tinggi peserta di peringkat serantau.
 
Bagi kategori Tilawah Tempatan (Lelaki), johan disandang oleh Muhammad Amnan bin Muhammad Sani dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan markah 92.42 peratus.
 
Sementara itu, kategori Tilawah ASEAN (Lelaki) dimenangi oleh Mohammad Hamiz Mirza bin Haji Sudirman dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam dengan markah 91.17 peratus.
 
Bagi kategori Hafazan 1–30 Juzuk Tempatan (Perempuan), johan menjadi milik Radhiah binti Mohd Shafie dari Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC) yang memperoleh markah cemerlang 98.69 peratus.
 
Manakala kategori Hafazan 1–30 Juzuk ASEAN (Perempuan) dimenangi oleh Dina Hadfina binti Mohd Umarul Hisyam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan markah 97.54 peratus.
 
 
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.
 
Penganjuran MTHQ IPT ASEAN ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat qari dan hafiz muda berpotensi tinggi, malah memperkukuh jaringan ukhuwah serta kerjasama antara institusi pengajian tinggi serantau.
 
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan UniSZA dalam melahirkan generasi mahasiswa yang seimbang dari sudut akademik dan spiritual, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.
 
 

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara