Monday, 11 May 2026

UniSZA Raih Pengiktirafan Antarabangsa dalam International Halal Economic Award (IHEA) 2026

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
Bangi - HALAL Research Centre (HRC), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai penerima Halal Economy University Leadership Outstanding Award sempena International Halal Economic Award (IHEA) 2026.
 
Pengiktirafan berprestij ini diberikan oleh Sekretariat Penganjur IHEA 2026 bersama Jawatankuasa Panel Pemilihan sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang, kepimpinan berwibawa serta komitmen berterusan HRC UniSZA dalam memperkukuh dan memajukan ekosistem ekonomi halal di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
Anugerah tersebut telah disampaikan dalam Majlis Evening Gala & Global Recognition International Halal Economic Award (IHEA) 2026 yang berlangsung bersempena International Halal Economic Conference (IHEC) 2026 pada Khamis, 5 Februari 2026, bertempat di Grand Ballroom, The Tenera Hotel & Suites, Bandar Baru Bangi, Selangor.
 
Majlis penuh berprestij ini menghimpunkan pemimpin industri halal, delegasi antarabangsa, tokoh akademik, wakil institusi serta kenamaan dari dalam dan luar negara.
HRC UniSZA diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam selaku penerima anugerah, yang mencerminkan peranan signifikan pusat tersebut sebagai peneraju penyelidikan, pembangunan ilmu dan kepakaran dalam bidang ekonomi halal.
 
Pengiktirafan ini turut mengiktiraf kepimpinan strategik serta usaha berterusan UniSZA dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan dan jaringan kerjasama antarabangsa berkaitan industri halal.
 
Majlis tersebut telah berlangsung dengan keberangkatan tiba TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka serta YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol sebagai tetamu kehormat.
 


Turut hadir ialah tokoh industri halal terkemuka, Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mohamed Yusoff Noor, Pengerusi World Islamic Economic Development (WIED) dan Chartered International Institute of Halal Economy (CIHE), serta Y.Bhg Dato’ Azhari bin Datuk Shaari, Pengerusi Halal Development Corporation.
 
Sepanjang majlis, pelbagai pengisian berimpak tinggi telah diadakan termasuk pelancaran rasmi Chartered International Institute of Halal Economy (CIHE), persembahan kebudayaan antarabangsa serta penyampaian anugerah kepada institusi, organisasi dan individu yang telah memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi halal global.
 
Penerimaan anugerah ini membuktikan komitmen berterusan UniSZA dalam memperkukuh agenda halal negara dan memperluas pengaruh akademik serta kepakaran universiti di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi UniSZA untuk menjadi peneraju ilmu demi faedah insan sejagat. 
 
 

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara