Thursday, 23 April 2026

PUSAT PENYELIDIKAN KEWANGAN SOSIAL ISLAM (ISF)

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Kuala Terengganu, 28 Januari 2026 - Pusat Penyelidikan Kewangan Sosial Islam (ISF), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menyempurnakan penyerahan watikah lantikan Felo Kehormat ISF kepada YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) bertempat di Yayasan Diraja Sultan Mizan, Kuala Terengganu.

Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan berprestij terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau dalam memperkasa agenda kewangan sosial Islam, khususnya melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi pembangunan komuniti, amalan filantropi, serta pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat yang selari dengan prinsip maqasid syariah dan kelestarian sosial.
 
Pelantikan ini juga diharapkan dapat memperkukuh jaringan strategik antara UniSZA dan Yayasan Diraja Sultan Mizan dalam menjayakan kolaborasi penyelidikan, pembangunan dasar, serta pelaksanaan program komuniti yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan negeri Terengganu.



Penyerahan watikah pelantikan ini disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, turut hadir mewakili UniSZA adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak, Pendaftar, En. Muzafar bin Mohd Din, Pengarah CCoRM, YBhg. Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany. Pengarah Pusat Wakaf & Endowmen, YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak, serta Pengarah Pusat Penyelidikan Kewangan Sosial Islam (ISF), YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Hazimi bin Mohammed Foziah.
 
Majlis turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM iaitu YBhg. Dato’ Haji Azizulrahim bin Ahmad Zambri, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Mustaffa, YBhg. Dato’ Dr. Che Ab Rahim bin Nik, serta En. Mohd Azrul bin Ismail, Setiausaha Kerja.



Dalam sesi perbincangan, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof menyatakan bahawa hubungan kerjasama strategik antara UniSZA dan YDSM telah berjalan dengan amat baik dan memberi impak yang signifikan. Beliau turut menyentuh potensi pelaksanaan projek pertanian komuniti bersama serta menekankan kepentingan pengukuhan kerjasama dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan kelestarian projek-projek berimpak tinggi kepada masyarakat.
 
Sementara itu, Naib Canselor UniSZA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YDSM atas sokongan strategik yang berterusan kepada UniSZA. Beliau menegaskan komitmen universiti untuk melaksanakan inisiatif yang telah dipersetujui secara bersama bagi pembangunan komuniti khususnya bagi manfaat rakyat Negeri Terengganu.
 
Melauiu pelantikan Felo Kehormat ISF ini diharapkan dapat memperkukuh lagi jaringan strategik antara UniSZA dan pihak berkepentingan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ilmu, polisi dan amalan kewangan sosial Islam yang lestari serta berteraskan nilai maqasid syariah.

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara