Sunday, 14 June 2026

UniSZA Zahir Takziah Pemergian Pelajar, Salur Bantuan Kebajikan kepada Keluarga

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 
KUALA TERENGGANU, 5 Januari 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merakamkan rasa dukacita dan kesedihan yang amat mendalam atas pemergian seorang pelajarnya, Allahyarhamah Syakirah Hanan binti Mazli, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 5 Januari 2026.
 
Allahyarhamah merupakan pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan. Pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar buat keluarga tercinta, malah turut dirasai oleh seluruh warga UniSZA yang bersedih atas kehilangan seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu dan membina masa depan.
 

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam telah hadir menziarahi keluarga Allahyarhamah di Unit Forensik sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada ahli keluarga yang terkesan.
 
Beliau turut bersama-sama menunaikan solat jenazah Allahyarhamah, sekali gus mencerminkan keakraban dan nilai kebersamaan antara pihak pengurusan universiti dan warganya.
 
Dalam kenyataan rasmi, pihak pengurusan tertinggi UniSZA merakamkan ucapan takziah dan simpati yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
 
Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab kebajikan universiti terhadap warganya, UniSZA akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan kepada keluarga Allahyarhamah.
 


Antara bantuan yang disediakan ialah khairat kematian pelajar berjumlah RM1,000.00, sumbangan pampasan kematian sebanyak RM5,000.00, bantuan pengurusan jenazah berjumlah RM1,000.00, serta tuntutan insurans pelajar sebanyak RM12,000.00, tertakluk kepada terma dan syarat yang berkuat kuasa.
 
UniSZA turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beroleh kedudukan yang mulia di sisi-Nya.
 
Sesungguhnya, kehilangan ini menjadi peringatan kepada semua tentang hakikat kehidupan serta kepentingan untuk saling mendoakan dan menyantuni antara satu sama lain dalam menghadapi saat-saat sukar.


 
 

Follow Us

Popular Post

Error: No articles to display

Latest News link

©2026 UniTIMES | Hakcipta Terpelihara